KUALA LUMPUR: Ramkarpal Singh diarahkan keluar dari sidang Dewan Rakyat pada Rabu. Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengarahkan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu keluar dari dewan selepas beliau enggan menarik balik kenyataan awal yang menyifatkan sekumpulan anggota Pemuda Umno sebagai 'samseng'. "Saya minta maaf, saya tidak dapat (memohon maaf)," kata Ramkarpal. Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Ramkarpa berkata, beliau enggan menarik balik kenyataan tersebut kerana ia mengenai pendirian. Jelasnya, keputusan itu berbeza dengan keputusan Timbalan Speaker, Datuk Rashid Hasnon pagi Rabu yang hanya memberinya amaran susulan penggunaan perkataan tersebut. "Setakat yang saya tahu, ia adalah pendirian. Timbalan Speaker Dewan sebelum ini telah membuat keputusan dan Perintah Tetap adalah jelas. "Jika keputusan telah dibuat dan sekiranya seorang ahli Parlimen tidak berpuas hati dengan keputusan itu, mereka boleh membuat usul di bawah Perintah Tetap 99 terhadap keputusan Speaker," katanya, sambil menambah bahawa beliau tidak berpuas hati terhadap Speaker kerana membuat keputusan di atas keputusan lain.