suria

PRK Sg Kandis: Umno mungkin bekerjasama dengan PAS

Annuar Musa.

KUALA LUMPUR: Umno mungkin akan bekerjasama dengan PAS pada pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis, kata Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa.

"Buat masa sekarang, kita akan bekerjasama mengikut keadaan demi prinsip kerjasama. Landskap politik baharu nampaknya membantu kita semakin rapat antara satu sama lain.

"(Kerjasama) seterusnya mungkin semasa pilihan raya kecil," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Rabu.

Annuar berkata, Umno akan melihat dulu kolaborasi bersama PAS pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di mana kedua-dua parti itu akan bekerjasama mengenai beberapa isu.

"Kita akan duduk dan berbincang. Kadang-kadang kita berbeza pendapat, kadang-kadang kita mendapat persetujuan bersama," tambahnya.

Bagaimanapun Annuar berkata, Umno tidak tergesa-gesa untuk memulakan kerjasama dengan PAS.

"Kita ada masa yang panjang. Apa yang lebih penting adalah kita bersikap 'terbuka' dengan parti-parti pembangkang," katanya.

Annuar turut memberitahu bahawa kerjasama itu bukan sekadar terhad kepada parti-parti pembangkang kerana Umno sedia untuk bekerjasama dengan parti-parti dalam parti-parti dalam kerajaan yang memerintah mengenai isu membabitkan rakyat.

"Katakanlah jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia, parti komponen kerajaan memerlukan sokongan kita, kita akan sokong mereka sekiranya ia memanfaatkan rakyat.

"Tak semestinya kita bantah hanya kerana kita membangkang. Ini tahun 2018. Anda tidak boleh hanya mengeluh sahaja," katanya.

Pada Selasa, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, partinya tidak akan bergabung dengan Umno.

"Kita tidak akan bergabung dengan Umno," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan dilaporkan pada 13 Julai sebagai berkata bahawa parti itu sedia bekerjasama dengan Umno untuk meletakkan calon tunggal dari mana-mana parti terbabit bagi PRK Sungai Kandis, 4 Ogos ini.

Annuar Musa

Artikel Sebelum

Artikel Lain