KUANTAN: Hasrat seorang peneroka untuk menunaikan ibadah haji tidak kesampaian selepas maut digilis sebuah treler di simpang berhampiran balai bomba dan penyelamat Bandar Jengka, Maran dekat sini, pagi Sabtu. Ketua Polis Daerah Maran, Superitendan Norzamri Abd Rahman berkata, dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, mangsa Jamaludin Abu Daud, 64, yang berasal dari Jengka 12, maut di tempat kejadian. "Kemalangan dipercayai berpunca apabila motosikal ditunggang mangsa keluar dari simpang secara mengejut menyebabkan pemandu treler terpaksa mengelak ke bahagian kiri jalan. "Bagaimanapun, motosikal mangsa tergesel dengan bahagian belakang treler menyebabkan mangsa tercampak ke bawah tayar belakang treler tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu. Norzamri berkata, laporan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Jengka mengesahkan mangsa meninggal dunia berikutan kecederaan parah di kepala. Mangsa dijadual berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan haji pada 7 Ogos depan. - Bernama