suria

Demi arwah, sanggup tunggang motor 700km

PETALING JAYA: Hanya berkemeja-t dan seluar jeans lusuh menunggang motosikal, bagi yang tidak mengenalinya, anak muda ini pasti disangka ‘mat rempit’.

Namun siapa sangka, dia sanggup menunggang motor sejauh kira-kira 700 kilometer dari Johor Bahru (JB) ke Sungai Petani, Kedah demi satu tanggungjawab yang besar.

“Adik yang bawak motor ni berusia lebih kurang 20an. Kami jumpa waktu beli burger di Bandar Seri Putra (Bangi). Kiranya mat rempitlah. Kita kan kadang-kadang nampak budak muda yang bawa motor semuanya sama. 

“Suami saya tanya nak ke mana. Dia jawab nak ke Sungai Petani. Punyalah jauh naik motor kan. Berbual-bual lagi. Rupanya ke sana sebab nak menuntut jenazah rakannya yang berusia 25 tahun.

“Kenapa kena tuntut? (Dia jawab) ‘Kawan saya anak yatim. Ibu bapa dah meninggal. Tak ada sesiapa sebab anak tunggal. Jadi saya ke sana nak ambilkan sijil kematian ibu bapanya di rumah arwah dan tuntut sekali jenazah dan kebumikan. Sebab saya yang ada kunci spare (pendua) rumah kawan saya ni’,” kata Normaliza Mahadi di laman sosial Facebook miliknya pada Khamis malam sehingga tular.

Normaliza ketika dihubungi mStar Online berkata, anak muda yang hanya dikenali sebagai Amir memberitahu dia menunggang motosikal dari JB ke Sungai Petani pada Khamis lalu untuk menuntut jenazah rakan sekerjanya yang meninggal dunia akibat paru-paru berair.

Dia yang merupakan seorang kaunselor berkata, banyak dugaan yang dihadapi Amir pada hari berkenaan bermula dengan terlibat dalam kemalangan di sebelah pagi sewaktu membantu menolak motosikal seorang ‘pakcik’ yang rosak di tepi jalan.

“Amir tunjuk tangan dia, habis ada luka-luka,” kata ibu kepada enam anak itu, sambil menambah sempat bertukar nombor telefon dan menasihatkan Amir supaya berhati-hati sebelum pemuda itu meneruskan perjalanannya ke Sungai Petani.

Normaliza yang juga pengasas badan KASEH4U, badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu golongan gelandangan dan miskin bandar berkata, dalam perbualan singkat itu dia dan suami meminta nombor telefon Amir sebelum pemuda berkenaan meneruskan perjalanan ke utara tanah air.

Namun katanya, Amir menghantar mesej pada awal pagi Jumaat memberitahu motornya mengalami kerosakan sewaktu di Slim River dan perlu dihantar ke bengkel.

“Amir ada mesej meminta bantuan wang tunai untuk membaiki motosikalnya. Tapi mesej terakhirnya memberitahu dia terpaksa mencagarkan telefonnya kepada seorang individu bagi membaiki motosikalnya,” katanya sambil menambah Amir tidak dapat dihubungi sejak itu.

Perbualan antara Normaliza dan suami, bersama Amir menerusi aplikasi WhatsApp.

Menurut Normaliza, keadaan kewangan Amir ketika itu menimbulkan tanda tanya sambil memikirkan nasib anak muda yang mahu menuntut jenazah rakannya berikutan kos diperlukan untuk pengurusan jenazah.

“Amir dapat panggilan mengenai rakannya itu meninggal dunia daripada jiran arwah. Boleh saja Amir cakap minta jiran arwah yang uruskan hal jenazah.

“Tapi Amir beritahu dia pun anak yatim jadi dia tahu apa rasanya, cuma bezanya dia masih ada adik-beradik lain dan arwah anak tunggal,” katanya.

Walaupun Amir turut bergelar anak yatim, dia berpandangan bahawa anak muda itu seorang yang amat mementingkan persahabatan.

“Ada lagi ke orang macam ni kat dunia? Biasanya yang kita dengar, yang jahat atau mahu ambil kesempatan. Tapi tak sangka masih ada lagi orang yang berhati mulia macam Amir.

“Jadi, jangan nilai seseorang itu dari luarannya, don’t judge book by it’s cover. Dalam segala kekurangan itu, Amir masih menghargai persahabatan. 

“Bawa motor seorang diri malam-malam dari Johor ke Sungai Petani bukan senang dan dekat ya. Walaupun terputus hubungan, saya berharap Amir dapat menunaikan hasrat untuk menguruskan pengebumian jenazah rakannya,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain