KOTA BHARU: Seorang buruh tidak mengaku salah di mahkamah sesyen pada Selasa atas dakwaan membelasah sepupu kerana durian. Dakwaan terhadap, Mohd Khairul Izwan Mohd Zin, 32, dibuat di hadapan Hakim, Nazri Ismail. Tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata kayu berpaku sepanjang 80 sentimeter terhadap Mohd Zulkhairi Abdul Kadir, 41, di alamat Cabang 3, Kampung Wakaf Bunut, Selising, Pasir Puteh, pada jam 9 malam, 11 Julai lalu. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Norazlinawati Mohd Arshad. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM35,000 dengan dua penjamin. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 9 Ogos depan. Difahamkan, perselisihan antara mereka tercetus apabila mangsa dikatakan cuba mengambil durian di kebun bapa saudara mereka. Keadaan menjadi tegang hingga tertuduh dipercayai memukulnya dengan kayu hingga patah tangan kiri. - Sinar Harian