suria

"Singkir bekas presiden Umno bukan bererti tak sayang tapi..."

Datuk SEri Najib Tun Razak (kiri) dan Tan Sri Rahim Tamby Chik

PETALING JAYA:  "Jika ahli-ahli Umno masih malu dan takut bersuara, terimalah padahnya. Melayu makin layu dan sayu," ujar bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu itu berkata demikian bagi menyuarakan pandangan menerusi Facebooknya berkaitan bekas presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ramai ahli Umno bersetuju pandangan dan kenyataan Ketua Umno Bahagian Titiwangsa Datuk Seri Johari Abd Ghani bahawa kehadiran bekas presiden Umno di PRK Sungai Kandis telah memberi kesan yang negatif terhadap peluang calon BN untuk menang.

"Keberanian seperti ini yang diperlukan dalam Umno.

"Makin ramai yang berani menyatakan pendirian demi membina imej dan integriti Umno yang telah punah dan ranap ketika PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) yang lalu, makin bijak dan waraslah kepimpinan Umno bergerak ke depan menebus rasa benci rakyat kepada Umno kerana kleptokrasi dan rasuah," luahnya.

Jelas Rahim, ada juga yang berpendapat jika Umno benar-benar berazam untuk merubah dirinya, kepimpinan Umno mesti berani membuat keputusan untuk menyingkirkan keahlian bekas presiden Umno yang lalu sebagai tanda komitmen perjuangan Umno.

"Ramai masih sayang dan hormat kepadanya termasuk saya sendiri yang telah berjuang bersama-sama sejak zaman Pemuda dulu.

"Tapi penyingkiran keahlian Umno terhadap bekas presiden akan dilihat dan dirasai rakyat satu pengorbanan politik yang amat besar.

"Rakyat akan menghargai bahawa dalam perjuangan untuk negara, kebijaksanaan dan tanggungjawab agung Umno adalah memilih kepentingan rakyat sebagai keutamaan nasional yang jauh lebih besar dari  hanya terkial-terkial mempertahankan kepentingan mana-mana individu tertentu.

"Bukan kami tak sayang bekas pemimpin kami tapi kami lebih sayang perjuangan Umno yang keramat ini tidak dikiamatkan."

Rahim Tamby Chik, Najib Razak

Artikel Lain