suria

Pelanggan dedah 'rasa nak putus nyawa' selepas minum kopi campur peluntur

PETALING JAYA: Gara-gara terpedaya dengan keberkesanan kopi yang didakwa dapat menyembuhkan pelbagai penyakit sekali pun diminum bersama cecair peluntur, seorang wanita terpaksa dimasukkan ke hospital akibat sesak nafas.

Ibu kepada empat cahaya mata itu bukan sahaja mempertaruhkan nyawanya, malah nyawa anaknya yang berusia lapan tahun apabila diminta oleh seorang peniaga untuk minum kopi jenama G****** yang dicampur cecair peluntur pada Khamis lalu.

Siti Hajar Abdullah (gambar), 30, yang berasal dari Gua Musang, Kelantan berkata, dia tidak mengalami sebarang kesan sampingan yang ketara selepas minum campuran kopi dan cecair peluntur tersebut, sebaliknya mendakwa mula berasa sesak nafas seminggu selepas itu (semalam).

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga minta pelanggan minum peluntur, nak buktikan kopinya mujarab!

Ketika ditanya mengapa dia mudah mempercayai kata-kata peniaga tersebut, Siti Hajar berkata: "Saya pun tidak tahu kerana saya ni orang kampung sahaja, saya tidak tahu yang minum peluntur itu bahaya.

"Semalam (Khamis) baru saya rasa sesak nafas dan seperti 'putus' nyawa. Anak yang berusia lapan tahun pun turut ikut saya minum sekali.

"Saya segera menghubungi suami untuk memberitahu tentang keadaan saya dan suami bawa saya ke hospital untuk dapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Anak lelaki Siti Hajar  berusia lapan tahun yang turut minum kopi dicampur dengan cecair peluntur.

Tambah Siti Hajar, dia mengaku terpengaruh dengan dakwaan yang dibuat oleh peniaga mengenai manfaat kopi tersebut yang boleh merawat pelbagai penyakit.

Menurutnya, akibat sesak nafas dia dimasukkan ke hospital selama sehari sebelum meminta kebenaran daripada doktor untuk pulang.

"Doktor tak tolak kemungkinan ini kesan sampingan kerana saya mempunyai penyakit buah pinggang, jantung dan darah tinggi," jelasnya.

Wanita tersebut mendakwa telah membeli tiga kotak kopi berkenaan yang dijual pada harga RM95 sekotak.

Sementara itu, suami Siti Hajar, Mohd Fauzi Zakaria, 39, telah membuat laporan polis berhubung perkara itu dan bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pengasas kopi terbabit.

"Pada asalnya saya tidak tahu isteri saya minum kopi dengan cecair peluntur kerana saya tidak berada di rumah ketika kejadian.

"Lepas saya tahu mengenai perkara ini, saya marah isteri sehingga tidak bertegur dengan dia," katanya.

Susulan kejadian, Siti Hajar cuba mendapatkan penjelasan daripada rakan yang memperkenalkan produk itu kepadanya.

Kopi tersebut dijual pada harga RM95 sekotak.

Namun, rakannya bukan sahaja enggan bertanggungjawab malah meminta agar Siti Hajar tidak terlalu memikirkan mengenai perkara ini.

"Dia kata jangan percaya komen negatif yang ditulis di Facebook kerana "biasalah ada orang nak tutup periuk nasi mereka", mereka kan berniaga.

"Saya risau (kesihatan) anak saya pula sebab dia pun minum juga," tambah Siti Hajar.

Pada Khamis, mStar Online melaporkan, terdapat peniaga dalam talian berani mempertaruhkan nyawa pelanggannya demi membuktikan kopi yang dijual oleh mereka itu mujarab.

Pengendali laman Facebook kopi tersebut turut memuat naik beberapa video yang menampilkan pelanggan berbeza minum kopi yang dicampur cecair peluntur.

Minuman yang dijual pada harga RM95 sekotak itu didakwa sejenis kopi antiracun dan antikanser, selain mampu membantu menurunkan kadar gula dalam darah serta merawat batu karang.

cecair peluntur

Artikel Lain