suria

Rakyat Malaysia komen langkah Singapura calonkan 'budaya penjaja' di bawah Warisan Budaya Tidak Ternilai Unesco

-Gambar fail

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia telah menjadikan Facebook sebagai tempat untuk mempersoalkan langkah Singapura mencalonkan budaya penjajanya dalam senarai Warisan Budaya Tidak Ternilai Unesco.

Rakyat Malaysia, termasuk pengguna Facebook Sarimah Samad-Imran turut mempersoalkan sama ada Singapura akan berhenti membuat tuntutan bahawa 'nasi lemak dan laksa kari' sebagai milik mereka.

"Nampaknya mereka terus menuntut 'penjaja' pun budaya mereka juga? Saya rasa tak lama lagi semua yang ada di muka bumi ni akan jadi makanan dan budaya mereka," katanya.

Pandangan yang hampir sama dikongsi oleh pengguna Facebook lain, Hamzah Hashim.

"Saya pergi ke bazar Ramadan di Singapura tahun lalu. Lawak betul. Harganya sangat mahal tapi makanan tradisional sangat kurang, makanan hipster yang terlalu banyak," katanya.

Chris Whata mengemukakan komen serupa, dengan menyatakan bahawa negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam mempunyai budaya penjaja yang lebih asli.

"Dari segi makanan penjaja, saya fikir Thailand dan Indonesia adalah yang paling menonjol," tambah Fikri Hasim.

Pengguna Facebook lain, seperti Roy Yuen, Shahrain Mohamad dan Khoo Chun Kheng berkata makanan Pulau Pinang adalah yang terbaik.

Pengguna Qui An berkata orang-orang Pulau Pinang sepatutnya melobi negeri mereka untuk 'destinasi makanan terbaik Asia dan tapak warisan untuk masakan asli Asia.'

Pengguna Facebook lain seperti Steven Ngai berkata 'meja yang ditempah dengan kertas tisu sangat unik.'

Noel Solomon Ponniah bersetuju dengan kenyataan itu, sambil menambah bahawa ia adalah 'amalan yang sangat berbudaya', manakala Harivin Krishnan menyatakan bahawa amalan ini adalah 'satu-satunya warisan yang ada di medan selera Singapura'.

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dalam ucapannya pada Ahad berkata republik itu akan mencalonkan budaya penjaja dalam Senarai Wakil Unesco Warisan Budaya Bagi Kemanusiaan Yang Tidak Ternilai.

Hsien Loong berkata pusat penjaja Singapura adalah 'ruang makan masyarakat' dan merupakan bahagian unik dalam warisan dan identiti negara.

Jika berjaya, budaya penjaja itu akan menjadi pengiktirafan kedua oleh Unesco selepas Kebun Bunga Singapura, yang ketika ini merupakan satu-satunya tapak di Singapura yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco sejak tiga tahun lalu.

budaya penjaja, Unesco, warisan

Artikel Lain