KLANG: Ahli Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid memohon maaf kepada Tun Dr Mahathir Mohamad susulan dakwaannya terhadap perdana menteri itu. Beliau menulis surat itu selepas mendengar penjelasan serta arahan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Menurut Abdullah Sani, Anwar menghubunginya melalui telefon dan perbualan itu berlangsung selama 41 minit. Bercakap kepada media di pejabatnya di Klang, beliau berkata, surat permohonan maaf itu sudah dihantar kira-kira pukul 9.40 pagi tadi ke pejabat Dr Mahathir. "Saya berada di Kota Kinabalu ketika menerima panggilan Anwar dan setelah diberi nasihat, penjelasan dan arahan oleh Anwar, maka saya memahami pelaksaan peralihan kuasa yang saya bangkitkan kebelakangan ini hingga mengheret nama Tun Dr Mahathir. "Dengan ini saya memohon maaf atas keterlanjuran kata dan kebimbangan saya terhadap usaha menggagalkan peralihan kuasa adalah tidak benar," katanya. Isu berkenaan mendapat perhatian apabila Abdullah Sani menerusi ucapannya mendakwa ada pihak tertentu berpakat untuk menghalang Anwar menjadi perdana menteri. Sebelum ini pemimpin HARAPAN bersetuju menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dalam usaha menarik sokongan pengundi bagi mengalahkan BN pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, sebelum ia diserahkan kepada Anwar. Abdullah Sani mendakwa bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin mengadakan persepakatan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali bagi menghalang Anwar menjadi perdana menteri.