KUALA LUMPUR: Seramai 17 penumpang sebuah bas ekspres berdepan detik mencemaskan apabila bas yang dinaiki terbabas dalam kejadian di KM298 Lebuhraya Plus arah Selatan, di sini awal pagi Khamis. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bangi Rosman Majid berkata bomba menerima panggilan pada 2.15 pagi tadi berhubung kejadian itu. Beliau berkata tujuh jentera FRT dan dua jentera EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian. "Setibanya kami di lokasi mendapati bas yang membawa 17 penumpang itu telah terbalik di tepi lebuh raya dan pemandu serta pembantunya, masing-masing berusia 60 dan 59 tahun dilaporkan cedera," katanya ketika dihubungi. Turut cedera dalam kejadian itu adalah seorang penunggang motosikal berusia 59 tahun yang terjatuh ketika melalui kawasan itu. “Kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut. "Siasatan awal mendapati kemalangan bukan kerana kecuaian, tapi dipercayai lebih kepada masalah teknikal," katanya. - BERNAMA