SHAH ALAM: Pengguna dinasihatkan supaya lebih berhati-hati sebelum terlibat dengan sebarang pelaburan atau urus niaga mata wang kripto yang semakin mendapat perhatian. Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, pelaburan seperti itu masih belum dikawal selia di negara ini dan pengguna perlu bersedia menganggung risikonya sendiri. “Agak sukar untuk mengawal pelaburan seperti ini kerana ia adalah satu bentuk mata wang yang dijalankan secara maya. “Sebab itu jika berlaku sebarang masalah atau kerugian, pelabur itu perlu menanggungnya risikonya sendiri kerana tidak ada pihak yang boleh memberi jaminan untuk mendapatkan semula wang yang telah rugi,” katanya. Mengulas lanjut, beliau berkata, keuntungan atau kerugian daripada pelaburan ini juga tidak dapat ditentukan kerana kestabilannya tidak boleh dijangka. “Walaupun urus niaga mata wang kripto ini digunakan untuk beberapa tujuan pembiayaan projek tertentu, kita sebagai pelabur masih tidak pasti sama ada pelaburan itu akan menguntungkan atau sebaliknya. “Ini kerana ia dijalankan tanpa sandaran dan kita juga tidak tahu apakah faktor-faktor yang memberi kesan kepada kenaikan dan kejatuhan pelaburannya,” katanya. Tambahnya, kesedaran dan peranan pengguna sendiri amat penting bagi memastikan kejadian yang tidak diingini berlaku. “Disebabkan itulah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menasihatkan supaya mereka yang berhasrat untuk melabur perlu menanggung segala kemungkinan yang terjadi. “Memang cryptocurrency ini memang pelaburan yang sedang berkembang tapi dalam masa sama risikonya tidak boleh dijangka,” katanya. - Sinar Harian