suria

Kisah di sebalik tiang bendera, nostalgia arwah ibu dan Malaysia baharu

PETALING JAYA: Bermula dari ibu, seterusnya diwarisi anak dan sehinggalah ke cucu-cucunya, semangat cintakan negara yang mengalir dalam keluarga patriotik ini tidak pernah pudar.

Malah, sambutan sempena kemerdekaan negara kali ini ternyata lebih bermakna dan meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Menerusi perkongsian di laman Facebook, Zakir Husin, dilihat bersama anak-anaknya sedang menaikkan Jalur Gemilang di hadapan rumah mereka di Kampung Kuantan, Kuala Selangor.

Ketika dihubungi mStar Online, penjawat awam berusia 48 tahun ini  sempat berkongsi mengenai tradisi sambutan Hari Kemerdekaan keluarganya serta kisah di sebalik sebatang tiang bendera di rumah pusaka yang diwarisinya itu.

"Bila diimbas kembali, arwah ibu saya merupakan orang yang paling bersemangat setiap kali tibanya bulan kemerdekaan negara. Setiap tahun dia yang ingatkan kami untuk pasang bendera sehinggalah dia meninggal dunia pada 2008.

"Saya kembali berpindah ke rumah pusaka awal tahun ini, makin terimbau nostalgia setiap kali merdeka bersama arwah ibu, sebab itu saya cuba terapkan dalam diri anak-anak saya pula," ujar Zakir yang bertugas sebagai Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Majlis Daerah Kuala Selangor.

Tambahnya lagi, tiang bendera tersebut sudah wujud sejak 20 tahun lalu, namun ia sunyi tidak berkibar sejak lima tahun lalu.

Sehubungan itu, dia mengambil inisiatif untuk menjelmakan kembali memori arwah ibunya, Aishah Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Esah itu bersama anak-anaknya pula.

Zakir mempunyai 10 cahaya mata berusia 4 hingga 21 tahun, namun hanya lima daripada mereka yang menyertainya dalam video tersebut.

Dalam pada itu, Zakir turut berpendapat sambutan Hari Kemerdekaan ke-61 pada tahun ini jauh lebih bermakna setelah negara bertukar tampuk pemerintahan pada 9 Mei lalu.

"Sukar untuk digambarkan, sekitar 10 tahun kebelakangan ini sambutan merdeka terasa agak hambar, tak dapat nak menjiwai sepenuhnya.

"Namun, kemenangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tempoh hari bagaikan satu kebebasan yang diimpikan selama ini. Malah, ada kawan saya yang menganggap kemenangan PH sebagai kemerdekaan kedua negara.

"Sekarang walaupun keadaan belum banyak berubah, tapi sekurang-kurangnya ada sinar dan harapan untuk perubahan tidak lama lagi," katanya.

Malah, dia turut berharap sambutan tahun ini di bawah pemerintahan kerajaan baharu akan menyatukan rakyat berbilang kaum di Malaysia ke arah yang lebih baik.

Bercerita mengenai perancangan sambutan ambang 31 Ogos ini, Zakir merancang untuk membawa keluarganya ke Dataran Kemerdekaan Shah Alam untuk menghayati saat penuh bersejarah itu.

Artikel Lain