KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menafikan kecekapan dan kehebatan orang Kelantan dalam mengurus perniagaan. Namun, katanya apa yang menghairankan orang Kelantan tidak berbakti di negeri sendiri sebaliknya 'membuat duit' di negeri orang lain. Ini jelas kata Dr Mahathir, ada sesuatu yang 'tidak kena' dengan iklim di negeri Kelantan hinggakan rakyatnya tidak mampu berbakti di negeri sendiri. “Sebenarnya orang Kelantan ini bijak-bijak belaka, kalau kita perhatikan di mana negeri pun yang ada perusahaan dan perniagaan adalah orang Kelantan, kenapa mereka tidak boleh buat perkara itu di Kelantan adalah soalnya. “Pekerja-pekerja kita di Singapura juga ramai orang Kelantan yang tinggal di Johor, mereka cekap, mereka boleh, tetapi persekitaran barangkali tidak kena di Kelantan. "Sama-samalah kita kaji persekitaran itu untuk tentukan kenapa ia jadi demikian,” kata Perdana Menteri dalam sesi dialog pada Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 di sini Sabtu. Katanya, ini hakikat sebenar, dan beliau yakin jika orang Kelantan dapat dan boleh betulkan sesuatu maka boleh bangunkan Kelantan. "Bahkan Kelantan akan lebih pesat daripada tempat lain, namun demikian saya gembira di Kota Bharu ramai orang Melayu berniaga banding bandar-bandar lain, ini kenyataan kenapa jadi begitu sebab mereka ada kebolehan," katanya.