PUTRAJAYA: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos memuji sikap pemurah Tommy Thomas sebagai Peguam Negara (AG). Ini berikutan sejak Pakatan Harapan berjaya mentadbir kerajaan, banyak kes yang telah dikemukakan terhadap beberapa individu seperti bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Menteri Kewangan, Datuk Jamal Md Yunos digugurkan dan ditarik balik. Justeru katanya, beliau mengambil kesempatan sikap itu agar Thomas menyemak dan menarik balik pertuduhan dikemukakan kepadanya. "Hari ini saya mengambil kesempatan atas pemurah peguam negara untuk beliau juga menarik juga kes- kes yang sedang saya hadapi," katanya. Menurutnya, orang ramai juga diseru agar tidak melepaskan kemarahan terhadap Thomas kerana sikap tersebut. "Jangan marah kepada AG. AG ini cukup baik hati berbanding dengan sebelum ini semua jahat- jahat," katanya. Beliau berkata, mana-mana pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang berhadapan dengan kes mahkamah diminta menulis surat rasmi atau menghantar representasi kepada peguam negara. "Yang marah di sebelah sana itu kerana mereka tidak memohon. Jadi kalau tidak mohon macam mana AG nak lepaskan," katanya sambil tersenyum. Jamal berkata, tindakan Thomas juga membantu mengurangkan kesesakan banduan di dalam penjara. "Kuranglah orang masuk penjara. Perbelanjaan kerajaan pun jimat maklumlah negara dikatakan sedang menghadapi masalah kewangan dan sebagainya," katanya. Terdahulu, Jamal tiba di pekarangan bangunan Jabatan Peguam Negara jam 2.45 ditemani peguamnya, Datuk Imran Tamrin. Beliau kemudiannya meluangkan masa selama lima minit dengan pegawai Thomas untuk menyerahkan surat permohonan tarik balik tiga pertuduhan yang sedang dihadapinya. "Saya ada tiga kes sedang berjalan di mahkamah dan dua lagi akan didakwa dalam masa terdekat manakala 25 kes sedang disiasat," katanya.-SinarHarian