suria

Pasangan lesbian: Lebih ringan daripada sebatan guru disiplin

KUALA TERENGGANU: “Saya pun keliru dan tidak faham kenapa perkara sedemikian dianggap dan digambarkan sebagai perkara negatif, sedangkan aspek yang ingin kita sampaikan kepada masyarakat ialah didikan,” tegas Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar terhadap mereka yang mengutuk tindakan sebat yang dilaksanakan ke atas pasangan lesbian baru-baru ini di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, di sini.

Ahmad Samsuri berkata, dia sendiri kurang pasti sama ada pihak yang tidak bersetuju itu, tahu atau tidak sebat secara syariah malah hasil pertemuan beliau dengan beberapa individu yang menyaksikan sendiri hukuman itu dilaksanakan di hadapan mata mereka, bersetuju dengan tindakan terbabit.

“Saya ada bercakap dengan beberapa orang yang hadir pada hari sebat itu dan dia kata, sebat syariah yang dia tengok depan mata lebih ringan daripada hukuman pada zaman sekolah yang disebat oleh guru disiplin.

“Perkara ini juga bukan pertama kali dilaksanakan dan ia pernah dijalankan di beberapa negeri seperti Pahang dan juga Mahkamah Syariah Tawau, Sabah,” katanya kepada media selepas penyempurnaan pelepasan peserta Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud di Dataran Batu Burok di sini, Sabtu.

Ahmad Samsuri juga meminta mereka yang tidak bersetuju dengan hukuman itu mencari maklumat yang tepat dan membaca dengan mata hati malah melihat realiti bagaimana hukuman terbabit dipraktikkan.

Katanya, jika digambarkan bahawa sebat syariah ini sama dengan sebat mengikut sistem mahkamah sivil, ia adalah tidak benar dan berbeza sama sekali.

“Pada saya bukan puluhan kali berbeza tapi mungkin ratusan kali berbeza dari segi kekuatannya itu, bayangkan dalam keadaan rotan itu sendiri tidak boleh lebih 1.2 sentimeter (panjang) dan ketebalan pula tidak lebih 1.25 sentimeter.

"Malah ada tatacara dan kaedah bagaimana pelaksanaan ini hendak dibuat iaitu tidak boleh melukakan kulit, harus berpakaian, tidak di punggung tapi di belakang dan ini semua adalah prosedur yang diambil berdasarkan konsep hukum takzir bagi memastikan objektif utama adalah untuk mendidik masyarakat,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri berkata, apa yang berlaku itu (sebat) telah menghantar mesej yang menimbulkan perasaan takut kepada orang-orang tertentu di seluruh dunia dan itulah mesej yang ingin disampaikan beliau supaya gerun untuk melakukan perkara yang dikategorikan salah dalam undang-undang syariah.

Tambah beliau lagi, hukuman yang dijalankan adalah daripada agensi kerajaan pusat dan jabatan penjara, bukan dijalankan oleh hakim atau pendakwaraya.

“Saya tidak mendoakan hukuman atau kesalahan ini terus berlaku dalam masyarakat di negeri Terengganu, sebaliknya saya berdoa dan berharap supaya perkara songsang seperti ini tidak lagi wujud tetapi kalau ia wujud, mungkin mereka kita boleh fikirkan untuk orang dari pusat  datang tengok sendiri,” katanya. - Sinar Harian

sebat, lesbian

Artikel Lain