suria

Wan Azizah sahkan MP PKR akan berundur untuk Anwar

Dr Wan Azizah Wan Ismail.

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan seorang anggota Parlimen PKR akan mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kembali ke Parlimen.

Dr Wan Azizah berkata, perbincangan telah diadakan berhubung perkara itu tetapi beliau tidak dapat membuat sebarang pengumuman mengenainya.

"Kami sudah mengenal pasti kerusi, Insyallah.

"Wakil kami telah menawarkan untuk mengosongkan kerusi bagi membolehkan Anwar bertanding," katanya tanpa mengulas lanjut kepada pemberita semasa program di Putrajaya pada Sabtu.

Muka depan The Star pada Sabtu melaporkan ketika ini telah diaturkan untuk Anwar bertanding dan kembali sebagai wakil rakyat, dengan kerusi Parlimen di Pulau Pinang dijangka dikosongkan pada pertengahan bulan ini.

Pilihan kerusi untuk kemunculan semula bakal Perdana Menteri itu tertumpu kepada Permatang Pauh dan Nibong Tebal.

Presiden Pakatan Harapan itu bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya mengenai pilihan kerusi tersebut, 

"Belum lagi ... belum," katanya.

Dr Wan Azizah, Anwar Ibrahim

Artikel Lain