PETALING JAYA: Teka-teki kerusi yang akan ditandingi Datuk Seri Anwar Ibrahim terjawab apabila Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bakal bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson menerusi pilihan raya kecil (PRK). Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution berkata, ramai wakil rakyat parti itu menawarkan kerusi kepada Anwar selepas beliau menyatakan hasrat mahu kembali aktif sebagai ahli Parlimen ketika kempen PRK Sungai Kandis minggu lalu. "Anwar telah mengambil semua pertimbangan sebelum memilih Port Dickson. "Saya percaya ia dibuat atas satu kebebasan bagi menjayakan segala perancangan yang kita susun" jelasnya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR pada Rabu. Sementara itu, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah turut mengumumkan perletakan jawatnya bagi memberi laluan kepada Anwar. Danyal berkata keputusan itu dibuat bagi membantu Anwar dalam usahanya kembali sebagai seorang Anggota Parlimen dan seterusnya menjadi Perdana Menteri kelapan. "Saya yakin Anwar akan memenangi kerusi itu dengan mudah dan seterusnya menjadi Anggota Parlimen Port Dickson dan Insya-Allah, akhirnya akan menjadi Perdana Menteri Malaysia kelapan. "Oleh yang demikian, saya dengan ini mengisytiharkan peletakan jawatan saya sebagai Anggota Parlimen Malaysia berkuat kuasa serta-merta. Saya telah mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Anggota Parlimen itu kepada Speaker Dewan Rakyat awal hari ini," katanya kepada pemberita. Sebagai rekod, Danyal Balagopal merupkan wakil tunggal parti berkenaan yang memenangi kerusi P132 apabila mendapat 36,225 undi dengan majoriti 17,110.