PETALING JAYA: Sikap bersahaja Datuk Seri Najib Tun Razak di laman sosial menarik minat netizen untuk berinteraksi dengannya. Lebih mencuit hati apabila perkongsian bekas perdana menteri itu menerusi statusnya sering menjadi bahan usikan netizen. Terbaharu Najib berkongsi alamat sebuah restoran ikan patin di Kuala Lumpur selepas menerima banyak pertanyaan di Twitter mengenai lokasi premis berkenaan. Ia susulan beberapa keping gambar yang dimuat Najib ketika sedang menjamu selera bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan beberapa kenalannya. Bagaimanapun perkongsian Najib itu mengundang usikan netizen yang bertanya sama ada beliau kini menawarkan perkhidmatan prebiu berbayar mengenai lokasi makanan menarik memandangkan sebelum ini ahli politik itu turut memuat naik gambar sedang menjamu selera di sebuah kedai di Tanjung Malim, Perak. Malah ada juga yang mencadangkan supaya Najib menggunakan tanda pagar khas seperti #NajibCariMakan bagi setiap posting mengenai makanan agar mudah untuk pengguna media sosial mengelaskan topik tertentu yang dikongsikannya. Pada 8 September lalu beliau juga turut berkongsi gambar sedang menikmati hidangan di restoran nasi daun pisang di Seksyen 1 Petaling Jaya, selepas memuat naik gambar sedang membeli rojak di Jalan Bukit Pantai pada 5 September.