IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun nekad bertindak melarikan diri dari rumah ibu bapanya di Bandar Baru Putra, Bercham di sini jam 8 pagi Jumaat, gara-gara merajuk akibat dimarahi ibunya. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, Ahmad Aqil Akbar Zaid bertindak keluar sendiri dari rumahnya dengan membawa pakaiannya bagaimanapun ditemui orang awam di Kuala Kangsar, petang Jumaat. "Mengikut siasatan, akibat dimarahi ibunya, kanak-kanak itu menaiki bas untuk pergi ke rumah bapa saudaranya di Kuala Kangsar. Bagaimanapun semasa merayau di sekitar Kuala Kangsar, kanak-kanak itu ditemui orang ramai sebelum menghubungi pihak polis. "Difahamkan, kanak-kanak itu keluar dari rumahnya dengan rela hati akibat merajuk dimarahi ibunya yang berpunca kerana dia bermain di luar rumah," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat malam. Kehilangan kanak-kanak itu menjadi perhatian sejak pagi Jumaat selepas kisah kehilangannya dipercayai ketika menaiki basikal berdekatan rumahnya termasuk kononnya dilarikan dua lelaki tular di media sosial. Yahya turut mengucapkan terima kasih atas keprihatinan masyarakat dengan menyebarkan berita kehilangan itu di sosial media sehingga berjaya ditemui. - Bernama