suria

Zahid tak pedulikan Umno?

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didakwa gagal menterjemahkan peranannya sebagai Presiden Umno untuk menentukan hala tuju parti.

Menurut Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah, beliau mendengar ada pihak yang mendakwa Ahmad Zahid banyak kepentingan diri.

“Apa yang saya dengar ada pihak yang berpendapat Ahmad Zahid memilih pendirian berdiam diri kerana beliau mempunyai banyak kepentingan diri.

“Selepas dilantik sebagai Presiden Umno, Ahmad Zahid nampak seolah-olah tak tunjuk sikap sebenar selaku ketua, tapi ramai juga berpandangan beliau ini nampak seperti mencari lubang dan peluang di sebalik mereka yang berkuasa,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Langgak Golf, di sini, Sabtu.

Tengku Razaleigh mendakwa, bekas Timbalan Perdana Menteri itu dilihat cuba menyesuaikan diri dengan kelompok-kelompok tertentu yang berkuasa.

“Tindakan Ahmad Zahid menyesuaikan diri dengan kelompok berkuasa semata-mata kerana nak cari sama ada peluang atau tidak untuk beliau rakan-rakannya. Jadi beliau tidak melihat kepentingan parti secara menyeluruh ataupun kepada masyarakat Melayu.

“Jadi persoalannya sekarang, apakah Ahmad Zahid nak jadi pemimpin Umno untuk bawa orang Melayu ke arah yang lebih baik, lebih maju daripada dulu dan membaiki segala kelemahan yang ada pada Umno hari ini,” tambah Ahli Parlimen Gua Musang itu.

Hal demikian, menurutnya membuatkan ramai ahli dan penyokong Umno kecewa dengan presiden baharu mereka.

“Sebab itu ramai menzahirkan rasa kekecewaan terhadap Ahmad Zahid kerana situasi ini, bukan nak kata beliau tak tunjuk sikap atau berdiam diri tapi lebih kepada mencari lubang untuk dirinya dan rakan-rakannya bukan untuk Umno.

“Saya pula yang resah bagaimana nak kukuhkan semula Umno agar diyakini rakyat seperti dulu,” luahnya. - Sinar Harian

Ahmad Zahid Hamidi, Umno

Artikel Lain