suria

Rosmah bayar ikat jamin RM1 juta

KUALA LUMPUR: Isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa atas 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal membuat penyata tuntutan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Isnin membayar jaminan RM1 juta daripada jumlah keseluruhan RM2 juta yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Dua wanita yang dipercayai penjamin Rosmah hadir ke mahkamah kira-kira 10.15 pagi dan terus menuju ke kaunter bayaran jaminan di tingkat bawah Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini untuk menandatangani dokumen berkaitan urusan ikat jamin.

Bayaran jaminan itu dibuat oleh dua rakan wanita itu yang memakai baju kurung dan bertudung dan mereka meninggalkan Kompleks Mahkamah pada 11.15 pagi dengan sebuah kenderaan.

Pada Khamis lepas, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Rosmah, yang diwakili barisan peguam diketuai Datuk K. Kumaraendran membayar ikat jamin RM500,000 pada hari itu dan bakinya pada atau sebelum 11 Oktober.

Oleh itu setakat ini Rosmah telah melunaskan RM1.5 juta daripada jumlah RM2 juta itu.

Pada 4 Oktober lepas, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal membuat penyata tuntutan kepada LHDN.

Mahkamah membenarkan Rosmah diikat jamin RM2 juta dengan dua orang penjamin bagi kesemua pertuduhan dengan dua syarat menyerahkan dua pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi dan bakal saksi pendakwaan selain menetapkan 8 November untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

Rosmah Mansor

Artikel Lain