suria

Pelajar sanggup tangguh pengajian, jaga ibu kanser tahap empat

Mohd Khairul Adhar Mat Isa memberikan susu kepada ibunya, Siti Sa’dah Hussain, 62, yang terlantar sakit di rumah mereka di Taman Sri Permai. -fotoBERNAMA

ALOR SETAR: Seorang pelajar sanggup menangguhkan pengajiannya di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) demi menjaga ibunya yang terlantar menderita barah payudara tahap empat sejak Disember tahun lepas.

Penuntut semester tiga jurusan Al-Quran dan Al-Sunnah dengan Komunikasi, Mohd Khairul Adhar Mat Isa, 25, berkata biarpun berat hati untuk berbuat demikian, namun demi tanggungjawab dan kasih, beliau nekad untuk pulang ke kampung halaman dan berada di samping ibunya, Siti Sa'dah Hussain, 62.

"Ayah telah meninggal dunia tiga tahun lalu dan saya mengambil tanggungjawab ini menjaga ibu...bila saya akan sambung semula pengajian belum tahu lagi kerana perlu beri tumpuan kepada ibu yang sangat lemah ketika ini.

"Ibu juga tidak boleh bergerak dan bercakap hingga bergantung sepenuhnya kepada saya untuk memenuhi keperluan hariannya untuk makan, minum dan diberi ubat," katanya kepada pemberita di rumahnya di Taman Permai, Jalan Langgar, di sini, Isnin.

Mohd Khairul Adhar berkata, ibunya seorang bekas penyelia sebuah sekolah asrama di sini dikesan menghidap barah payudara pada Disember tahun lepas apabila pemeriksaan yang dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) mendapati ada ketumbuhan pada payudara sebelah kiri.

"Kerana lewat dikesan, kuman mula merebak ke bahagian otak menyebabkan ibu sering diserang sawan dan hanya terlantar di rumah, doktor juga memberitahu tiada rawatan khusus dapat diberikan kerana keadaan ibu lemah," katanya.

Mohd Khairul Adhar yang berbaki setahun setengah pengajian itu turut memohon sumbangan orang ramai serta pihak berkenaan bagi meringankan beban yang ditanggung.

"Sejak ibu sakit, kami bergantung kepada duit pencen ibu dan arwah ayah sebanyak RM2,000 sebulan untuk beli barang dapur, susu khas dan lampin pakai buang serta beli keperluan lain untuk ibu, duit itu tidak termasuk apabila ditolak dengan bayaran ansuran pembiayaan pinjaman ibu sebelum ini," katanya.

-foto BERNAMA

Sementara itu, nasib dihadapi Mohd Khairul Adhar mendapat perhatian Pengasas Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang mengadakan kunjungan serta menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan makanan, susu khas dan lampin pakai buang kepada ibunya itu.

"Saya difahamkan pelajar ini telah menangguhkan pengajiannya kerana niat murninya untuk menjaga ibunya dan saya berharap pihak universiti memahami keadaan beliau, kami di CSM sendiri akan membantu menyumbang katil untuk memudahkan beliau menguruskan ibunya," katanya yang berharap orang ramai prihatin dan dapat menyumbang membantu meringankan beban yang ditanggung.

Orang ramai yang ingin membantu bolehlah menghubungi beliau di 013-4912208 atau sumbangan terus ke akaun Bank Islam Mohd Khirul Adhar menerusi nombor akaun 02011021037822 atau Maybank (152023491869). -Bernama

kanser, payudara, tahap 4, CSM

Artikel Lain