suria

"Dia berdoa begitu lama sekali, saya menangis sampai bilik guru" - Cikgu sebak lihat bapa 'satu dalam 1,000'

Siti Zulikha berkata, dia berasa sayu tatkala menyaksikan bapa kepada pelajarnya berdoa di hadapan pagar sekolah sebelum membuat rakaman video, Jumaat lalu.

PETALING JAYA: Perkongsian video seorang guru mengenai kasih seorang bapa terhadap anaknya menerusi laman Facebook miliknya ternyata menyentuh hati netizen sehingga ada yang mengalirkan air mata.

Menerusi posting tular itu, seorang bapa dirakam sedang menghantar anaknya di hadapan pagar sekolah sebelum menadah tangan berdoa dan berlalu pergi dengan menaiki sebuah motosikal.

Bercerita kepada mStar Online, guru berkenaan, Siti Zulikha Zainal Abidin, 32, berkata beliau berasa sayu ketika menyaksikan detik itu sebelum bertindak membuat rakaman video pendek, Jumaat lalu.

"Pagi itu sekitar pukul 7.25, saya sedang jaga pintu pagar sekolah. Berbeza dengan kebanyakan ibu-bapa lain yang sekadar hantar dan bersalaman, saya tengok bapa kepada pelajar itu mematikan enjin dan turun dari motor.

"Setelah anak perempuannya berlalu pergi, dia berdoa begitu lama sekali. Sebab tu saya sempat rakam video. Ia begitu menyentuh hati dan saya terus menangis di situ.

"Tapi tujuan saya rakam tu untuk hantar pada suami sahaja pada mulanya. Saya rasa sayu sebab tak berkesempatan hantar anak sendiri ke tadika setiap hari, selepas itu baru saya muat naik ke Instagram dan Facebook," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Menurut guru subjek Sains di Sekolah Menengah Tinggi Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu, beliau mengenali pelajar tersebut dan pernah mengajarnya sewaktu berada di tingkatan dua.

Pelajar itu yang dikenali sebagai Aisyah kini berada di tingkatan lima dan Zulikha menyifatkan peribadinya sebagai seorang yang begitu baik, sopan dan sangat menghormati guru.

"Saya pernah mengajar Aishah, waktu tingkatan dua dulu, dia memang duduk di barisan hadapan dalam kelas.

"Malah, dia juga suka bercerita mengenai keluarganya pada saya. Dia begitu baik dan sopan," ujar Zulikha.

Video tersebut turut dimuat naik semula (repost) di Instagram mStar Online pada Sabtu dan menerima hampir setengah juta tontonan.

Menurut Zulikha lagi, dia tidak dapat menahan sebak pada pagi tersebut dan terus mengalirkan air mata sehingga ke bilik guru selepas menyaksikan situasi itu.

Ujarnya, apa yang disaksikan seolah-olah memberi gambaran mengenai kasih sayang seorang bapa yang jarang menunjukkan perasaannya di hadapan anak-anak.

"Saya menangis sampai ke bilik guru sehingga ditegur seorang pelajar, saya pun tunjukkan video itu kepadanya. Ia sebenarnya mengingatkan saya mengenai pengorbanan seorang bapa. Bapa Aishah tu bagi saya mungkin satu dalam seribu.

"Memang benarlah kepentingan berdoa, apatah lagi doa seorang bapa. Sebab itulah saya selalu ingatkan pelajar supaya tidak main-main kerana besar harapan ibu-bapa untuk mereka berjaya," katanya.

Posting berkenaan sehingga kini menerima hampir 150,000 tontonan dan turut dikongsi lebih 3,000 pelayar Facebook.

Selain itu, ia turut ditularkan oleh netizen di laman Twitter dan Instagram.

Rata-rata netizen turut membanjiri ruangan komen sambil menzahirkan rasa sayu mereka setelah menyaksikan video berkenaan.

"Moga anaknya jadi anak yang berjaya dunia dan akhirat. Untung dia hari-hari ayah bekalkan dengan doa," tulis Noorlia Ahmad.

"Sedih rasanya. Ku tiada ayah di sisi. Yang ada ayah jagalah ayahmu. Yang tiada, al-Fatihah," tulis Izhan Isa.

"Seorang ayah ni kalau sayang dia tak nak tunjuk sangat depan-depan," tulis seorang lagi pengguna Facebook.

Artikel Lain