PUTRAJAYA: “Nak ayah”, itu ungkapan Muhamad Meqa Al Asyraf, setahun 10 bulan, ketika melihat anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang lengkap beruniform di Dewan Sutera, Ibu Pejabat JBPM, bersempena Majlis Penghargaan Wira Merah pada Rabu. Muhamad Meqa, anak bongsu anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM Allahyarham Mohd Fatah Hashim yang terkorban ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas di Lombong Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor pada 3 Oktober lepas. Ibu bayi itu, Noor Nadia Kamaludin, 29, berkata anak bongsu itu sering mencari-cari ayahnya khususnya apabila melihat anggota bomba yang lengkap beruniform. “Sejak anggota bomba mengambil kami dari rumah sehingga ke sini, dia (Muhamad Meqa) asyik sebut nak ayah.. nak ayah. Mungkin ini disebabkan dia selalu tengok ayahnya memakai uniform yang sama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis itu. Pada majlis itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin menyampaikan sumbangan daripada Tabung Wira Merah kepada enam pewaris anggota PPDA yang terkorban semasa menjalankan tugas SAR itu. Selain itu, turut diumumkan kesemua enam anggota PPDA yang terkorban juga dinaikkan pangkat secara “posthumous” dari Gred KB19 ke KB22. Noor Nadia berkata Muhamad Meqa dan kakaknya Nur Medina Aisyah , 3, sangat rapat dengan allahyarham dan kedua-dua anak itu masih sekali-sekala mencari-cari ayah mereka. “Pada mulanya, Muhamad Meqa tidak berapa tidur pada waktu malam dan sering menangis dan mencari ayah. “Apabila kami bertiga buat kali pertama kembali ke rumah di Pelabuhan Klang, Nur Medina terbangun pada 4 pagi mencari ayah mungkin dia mimpi ayahnya. Saya memujuknya dengan memberitahu bahawa ayah sudah tiada. Selepas kejadian itu, kakak seolah-olah sudah faham ayahnya sudah tiada. Sekarang, dia selalu mengelak sebaik nampak benda yang berkaitan bomba,” katanya. Dalam kejadian 3 Oktober lepas , enam anggota PPDA lemas ketika operasi mencari dan menyelamat Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam, 17, yang terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, yang kemudiannya ditemukan mati lemas. Berterima kasih kepada JBPM dan kerajaan, Noor Nadia berkata sumbangan yang disampaikan itu akan digunakan untuk pendidikan kedua-dua anaknya pada masa akan datang. Noor Nadia yang menghidap penyakit tiroid berkata buat masa ini, dia dan kedua-dua anak perlu membiasakan diri tanpa suami dan ayah di sisi untuk meneruskan hidup. Suasana pilu menyelubungi Dewan Sutera apabila video montaj ketika upacara pengebumian jenazah enam anggota PPDA yang terkorban disiarkan dengan waris dan anggota bomba dilihat menitiskan air mata. Sementara itu, pada sidang media, Zuraida berkata setiap pewaris menerima manfaat insurans dan kebajikan dari jabatan dan persatuan berkaitan berjumlah antara RM164,000 hingga RM289,000. “Selain itu, kerajaan persekutuan juga akan menyumbangkan RM20,000 kepada setiap keluarga. Selain itu, kerajaan negeri Selangor juga akan menyumbang RM20,000,” katanya. Zuraida berkata jawatankuasa khas bagi menyiasat kes enam anggota bomba yang lemas itu akan mula bermesyuarat minggu depan. Jawatankuasa yang ditubuhkan pada 8 Oktober itu juga berperanan meneliti dan mengkaji prosedur operasi standard (SOP) bagi anggota bomba PPDA untuk ditambah baik agar insiden yang sama tidak berulang.- Bernama