suria

Selesai akad nikah, pasangan pengantin main dengan King Cobra!

Anna dan suaminya mempunyai minat yang sama terhadap ular. - foto ihsan Mohd Taqiuddin Iqbal Razali.

PETALING JAYA: Gambar perkahwinan adalah perkara penting bagi pasangan raja sehari kerana ia menjadi kenangan yang boleh disimpan sepanjang hayat!

Sudah menjadi kebiasaan bagi mempelai melakukan sesi penggambaran luar (outdoor photoshoot) bagi merakam momen-momen bahagia bergelar pasangan suami isteri.

Ada pasangan yang menitikberatkan soal lokasi kerana ia akan menentukan hasil dan kualiti gambar tersebut.

Tidak kurang pula pasangan yang inginkan sesuatu yang pelik, maklumlah kahwin kan sekali seumur hidup!

Bagi pasangan dari pantai timur, Che Ku Najihah Farhana Che Ku Zakaria, 23, dan Kamaruzaman Romaino, 31, mereka memilih untuk menggunakan dua ekor tedung selar (King Cobra), tiga ekor ular sawa dan seekor ular boa sebagai prop untuk sesi penggambaran mereka.

Che Ku Najihah atau lebih mesra disapa Anna berkata, dia dan suaminya memilih untuk bergambar bersama ular tersebut kerana ingin mengabadikan minat mereka berdua yang sama terhadap reptilia berbisa itu.

Anna sudah biasa 'bermain' dengan reptilia berbisa. - foto ihsan Mohd Taqiuddin Iqbal Razali

"Kami berdua memang minat ular. Saya dulu pernah berkhidmat bersama pasukan Hamadryad Malaysia yang menawarkan persembahan, 'talk' dan perkhidmatan sewa prop ular.

"Suami pula sebelum ini merupakan penjaga zoo, dia pengendali ular tedung. Jadi kami dah lama rancang nak jadikan ular sebagai prop untuk sesi outdoor photoshoot kami," katanya kepada mStar Online.

Menurut gadis dari Kemaman, Terengganu itu, idea bergambar bersama reptilia bukanlah sesuatu yang pelik bagi mereka.

"Kami bukan saja-saja buat semata-mata untuk photoshoot itu. Lagipun ini bukan pertama kali saya bergambar dekat dengan ular.

"Mungkin sebab kami buat masa kahwin, jadi orang rasa pelik. Tapi bagi keluarga dan pengikut saya, mereka dah biasa tengok saya dengan ular," katanya.

Ditanya mengenai perasaannya apabila berdepan dengan reptilia itu, Anna berkata dia sudah biasa mengendalikan ular tetapi perasaan takut itu tetap ada.

Anna mula berjinak-jinak dengan reptilia berbisa sejak 2014. - foto ihsan Anna

"Saya dah biasa kerana saya mula bela ular sejak 2014 lagi. Takut tu memang takut sebab ular tedung bahaya, tapi sebab dah minat, jadi perasaan takut tu hilang.

"Masa photoshoot tu pasukan Hamadryad bagi panduan, bukan main suka-suka ambil gambar. Waktu tu saya tak berani jamin 100 peratus selamat tapi keselamatan jadi keutamaan.

"Alhamdulillah semuanya terkawal dan tiada kejadian tidak diingin berlaku. Malah semua ular tersebut pun tak buat hal sepanjang penggambaran," katanya.

Anna berkata sesi penggambaran itu dilakukan di Pantai Penunjuk (Kijal), Kemaman, selepas majlis akad nikah yang berlangsung di kediamannya Sabtu lalu.

Katanya, penggambaran itu dilakukan dengan pemantauan lima individu dari pasukan Hamadryad Malaysia termasuk seorang daripadanya merupakan bekas ahli bomba yang mahir dalam mengendalikan ular.

Tiga ekor ular sawa turut dijadikan prop untuk sesi penggambaran pasangan ini. - foto ihsan Mohd Taqiuddin Iqbal Razali

"Masa penggambaran tu ada ramai yang jaga. Team Hamadryad turut beri tunjuk ajar kepada pengantin dan jurugambar.

"Kami buat outdoor dalam pukul 2 petang macam tu. Orang tak ramai sangat lagipun jarak jauh, tapi ada juga yang berhenti tengok. Mungkin mereka pelik tengok apa yang kami buat," katanya.

Sementara itu, Mohd Taqiuddin Iqbal Razali, jurugambar yang diberi tanggungjawab untuk mengabadikan detik manis Anna dan suaminya mengakui bimbang dengan permintaan pelik pasangan tersebut.

"Pada awalnya bimbang juga sebab sebelum ini ada pengalaman kurang manis dengan ular. Jadi saya ajaklah rakan saya.

"Tapi ambil masa juga nak sesuaikan diri. Lepas tu barulah OK. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan dengan bantuan 'handler' yang ada di sekeliling kami," katanya.

ular, pengantin, photoshoot

Artikel Lain