suria

Tun M kata akan ada lagi pemimpin BN bakal didakwa

BANGKOK: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata akan ada ramai lagi bekas menteri dari Barisan Nasional (BN) bakal diheret ke muka pengadilan.

Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan berterusan memerangi rasuah, salah guna kuasa atau kesalahan lain yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu.

Katanya, tindakan itu selari dengan prinsip kerajaan hari ini yang mahu bertindak berlandaskan kedulatan undang-undang.

“Sudah tentu. Kami sengsara hampir sembilan tahun. Mempunyai kerajaan yang tidak memikirkan rakyat dan mereka berterusan melakukan kesalahan. Biasanya bila anda melakukan kesalahan, ada akan berdepan dengan segala kemungkinan.

“Apa yang anda lihat hari ini, sudah tentu akan ada lagi tindakan yang diambil terhadap individu lain. Kami tidak boleh membawa ramai individu ke mahkamah dalam satu masa. Kita akan buat satu per satu dan memberi lebih perhatian kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika berucap di hadapan ahli Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand (MTCC) di Hotel Shangri-la ketika dalam lawatan rasmi dua hari ke Thailand bermula Khamis.

Pada Khamis, Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebentar tadi atas enam tuduhan pecah amanah melibatkan wang RM6,636,065,000 milik kerajaan Malaysia.

Sebelum ini, Najib juga berdepan dengan tiga siri pertuduhan di mahkamah selepas BN tewas dalam PRU14 lalu.

Selain Najib, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas 45 pertuduhan melibatkan 10 pertuduhan pecah amanah dan lapan pertuduhan menerima suapan berjumlah lebih RM42 juta serta 27 pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah lebih RM72 juta.

Tun M, BN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain