suria

Anak empat madu konvo bersama

Zulkepli bersama empat isteri dan empat anak mereka pada Majlis Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-89, petang Sabtu.

MACHANG: Sentiasa tolong-menolong dan menjadikan bapa sebagai pakar rujuk menjadi kunci kejayaan kepada empat adik beradik daripada empat emak berbeza pada Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kali ke-89 di sini, Sabtu.

Lebih manis apabila keempat-empat mereka iaitu, Juliana Aziera Zulkepli, 21, serta adik-adiknya, Ayu Shaheera, Zul Azril dan Zul Azrul merekodkan kejayaan yang cemerlang dengan menerima anugerah naib canselor dan diploma kelas pertama.

Juliana Aziera berkata, sekalipun tidak tinggal sebumbung namun mereka mempunyai hubungan yang rapat sama seperti adik beradik yang lain malah sering disalahanggap sebagai kembar kerana mereka seusia.

Katanya, sejak kecil, selain belajar di sekolah, mereka juga belajar di rumah bersama-sama dengan tunjuk ajar bapa mereka, Datuk Dr Zulkepli Mohamad.

"Kami berempat macam belangkas sejak kecil, belajar bersama-sama dan banyak menghabiskan masa bersama memandangkan kami sebaya dan banyak benda boleh dikongsi.

"Selain guru, papa yang banyak membantu kami dalam pelajaran. Dia yang jadi guru dan bantu kami di rumah malah sanggup pergi kelas semata-mata untuk bantu kami mengulangkaji pelajaran.

"Keadaan itu tetap sama sehinggalah kami menamatkan diploma perakaunan ini," katanya.

Juliana Aziera dan Ayu Shaheera memilih untuk berehat seketika sambil bekerja di firma akauntan milik bapa mereka manakala Zul Azril dan Zul Azrul menyambung pengajian di peringkat ijazah.

Sementara itu, Zulkepli, 54 yang pernah menjadi tukang karut dikir barat dan dikenali sebagai Zul Wisma berkata, kejayaan anak-anaknya itu cukup bermakna buat keluarga besarnya dan berharap mereka akan menjadi contoh kepada adik beradik yang lain.

Menurut Pengerusi Eksekutif Zulkepli & Co. itu, selain hasil didikan guru di sekolah, kecemerlangan anak-anaknya turut didorong oleh kebahagiaan yang dipupuk dalam rumah tangga beliau.

Katanya, empat isterinya, Datin Hasnah Mat Ya, 59; Rafizah Senawi, 51; Nurida Razali, 51, serta Norreha Abdul Rahman, 48, amat rapat dan memahami antara satu sama lain.

Tambahnya, keakraban isteri-isterinya itu membolehkan kesemua 11 anak mereka turut membesar sebagai satu keluarga dalam suasana harmoni.

"Selain ilmu dunia, saya juga menekankan ilmu akhirat kepada anak-anak dan seluruh keluarga agar mereka berjaya dalam kedua-dua bidang dan sentiasa dekat dengan ALLAH.

"Sekalipun sibuk dengan tugas harian, saya akan pastikan anak-anak sentiasa dekat dengan saya.

"Anak-anak tidak pernah hadiri kelas tambahan di luar sebaliknya saya berusaha ajar mereka sendiri di rumah.

"Ia bukan sahaja membantu mereka cemerlang dalam pelajaran tetapi lebih penting mengeratkan hubungan antara kami semua," katanya. - Sinar Harian

madu, konvo

Artikel Lain