suria

Jho Low kini sembunyi macam tikus - Tun M

Jho Low.

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Low Taek Jho kini bersembunyi seperti tikus bagi mengelakkan daripada berdepan pertuduhan oleh pihak berkuasa di Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata, Taek Jho yang juga dikenali sebagai Jho Low, pernah mengamalkan gaya hidup mewah, mengelilingi dunia tetapi kini melarikan diri daripada pihak berkuasa.

"Sebelum ini, dia seorang sering mengembara menggunakan pesawat jet dan (berlayar menggunakan kapar layar mewah) Equanimity, menjalani kehidupan yang hebat.

"Sekarang dia terpaksa bersembunyi seperti seekor tikus," kata Dr Mahathir kepada pemberita di lobi Parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2019, pada Jumaat.

Dr Mahathir berkata demikian bagi mengulas laporan bahawa Jabatan Kehakiman (DoJ) AS mendakwa pegawai bank Goldman Sachs dan ahli perniagaan itu pada Khamis berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ditanya sekiranya sama ada Malaysia dapat menahan Jho Low terlebih dahulu, Dr Mahathir berkata, ia tidak penting kerana mana-mana pihak berkuasa yang menahan ahli perniagaan itu akan membolehkan akses yang sama antara satu sama lain.

"Kita mahu mendapatkan Jho Low dan membicarakannya, tetapi kini dah tak nampak (dia). Kita tidak tahu di mana dia berada.

"Kita juga ingin mendapatkannya kerana kita mempunyai beberapa pertuduhan terhadapnya tetapi AS juga mahukannya.

"Kita mahu mencari dia terlebih dahulu tetapi tidak kira siapa pun yang dulu kerana kita akan mendapatkan akses antara satu sama lain," katanya.

Jho Low

Artikel Lain