suria

Subsidi petrol: Pengusaha stesen minyak mahukan satu sistem cekap, tak jejas operasi harian

-Gambar hiasan

PETALING JAYA: Pengusaha stesen minyak di negara ini menyambut baik cadangan pemberian subsidi petrol RON95 kepada golongan kurang berkemampuan.

Bagaimanapun, Presiden Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata pihaknya berharap satu mekanisme dan sistem yang lebih cekap diperkenalkan bagi memastikan cadangan itu berjalan lancar seterusnya subsidi itu sampai ke golongan sasar tanpa sebarang masalah.

"Bagi pemberian subsidi, pengusaha petrol enggan menguatkuasakan proses mengenal pasti penerima subsidi.

"Ini bermakna, kami mahukan satu sistem khas diwujudkan bagi membolehkan ia dilaksanakan," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Beliau berkata, seperti yang telah dibincangkan, pihaknya mahu sistem tersebut dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan bermula dari proses mengenal pasti individu yang layak menerima subsidi tersebut sehinggalah proses akhir pelaksanaannya.

Katanya, ini kerana pengusaha stesen minyak tidak mahu operasi harian mereka terjejas.

"Apabila penerima subsidi datang dan mengisi petrol di stesen minyak, mereka layak berdasarkan pengesahan menerusi kad pengenalan atau kod QR (contoh).

"Jadi mereka boleh membeli petrol pada harga subsidi sama ada dengan membuat bayaran di kaunter mahupun di pam petrol.

"Kami juga tidak mahu penerima subsidi beratur panjang di kaunter," katanya.

Bagi memastikan operasi berjalan dengan lancar, Khairul Annuar berkata pengusaha minyak mahukan subsidi tersebut dibayar semula dengan serta-merta supaya modal pusingan pihak mereka tidak terjejas.

"Kami menghargai usaha kerajaan memberi subsidi bersasar kerana ia satu langkah terbaik bagi membantu golongan miskin," katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019 pada Jumaat, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan seramai empat juta pemilik kereta atau 2.6 juta pemilik motosikal akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan skim subsidi minyak secara bersasar yang bakal diperkenalkan kerajaan.

Beliau berkata subsidi berkenaan akan diberikan kepada pemilik kereta berkapasiti enjin 1,500cc ke bawah dan motosikal 125cc ke bawah.

"Kerajaan akan memberi subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter bagi motosikal," katanya.

Tambah beliau lagi, pelaksanaan subsidi itu membabitkan peruntukan sebanyak RM2 bilion.

subsidi, petrol

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain