suria

Peminjam PTPTN gaji lebih RM1,000 boleh terus bayar hutang

PETALING JAYA: Mereka yang mempunyai hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selepas ini boleh meneruskan pembayaran balik dengan cara mudah, menerusi potongan gaji berjadual.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Belanjawan 2019 berkata, cara pemotongan gaji itu adalah untuk peminjam yang berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.

"Pembayaran balik PTPTN dengan cara potongan gaji berjadual antara 2 peratus hingga 15 peratus dari pendapatan bulanan peminjam berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan," katanya di Dewan Rakyat, petang Jumaat.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, pelepasan cukai akan diberikan kepada syarikat yang membantu menyelesaikan baki pinjaman PTPTN pekerja bagi tahun berakhir 2019.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerusi janji manifestonya sebelum ini menangguhkan pembayaran semula oleh peminjam PTPTN yang berpendapatan bulanan di bawah RM4,000.

Bagaimanapun, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan pada 28 Oktober lalu dilaporkan sebagai berkata, para peminjam perlu melunaskan pinjaman PTPTN mengikut peraturan dan prosedur sedia ada sebelum dasar baharu mengenainya diperkenalkan.

Malah katanya, peminjam yang bergaji kurang dari RM4,000 sebulan juga perlu melunaskan pinjaman itu tanpa ada sebarang pengecualian.

Sehubungan itu, katanya, para peminjam perlu meneruskan pembayaran mengikut kaedah dan jumlah yang mereka bayar sebelum ini seperti biasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai rungutan dalam kalangan peminjam apabila menerima notis pemberitahuan pembayaran balik pinjaman PTPTN seperti biasa meskipun ada dalam kalangan mereka bergaji bulanan kurang RM4,000.


PTPTN, Belanjawan 2019, Lim Guan Eng

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain