suria

Perlindungan percuma empat penyakit kritikal utama

PETALING JAYA: Kerajaan akan menyediakan perlindungan percuma ke atas empat penyakit kritikal utama sehingga RM8,000 untuk membantu golongan berpendapatan rendah B40.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata perkhidmatan itu diperkenalkan menerusi Dana Perlindungan Kesihatan Nasional B40 dengan usahasama syarikat insurans swasta.

Katanya, perlindungan percuma itu juga termasuk maksimum 14 hari pendapatan gantian semasa rawatan hospital pada kadar RM50 sehari atau bersamaan RM700 setahun.

Pada 20 Ogos lalu, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata skim insurans kesihatan sosial bagi kategori golongan isi rumah B40 akan dilaksanakan mulai awal tahun depan.

Jelas beliau, pelaksanaannya akan dibuat secara berperingkat bermula dengan kelompok B40 dan diperluaskan kepada kategori lain termasuk berpendapatan sederhana (M40).

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata skim insurans kesihatan memungkinkan kadar minimum antara RM10,000 hingga RM20,000 setahun diberi untuk setiap keluarga, merangkumi perbelanjaan perubatan dan caj rawatan apabila ditempatkan di wad.

Selain itu Guan Eng turut mengumumkan untuk meneruskan program saringan percuma pengesanan kanser payudara (mamogram), program vaksinasi HPV dan ujian saringan Pap Smear di hospital dan klinik kerajaan dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.

Peruntukan sebanyak RM50 juta bagi rawatan penyakit jarang jumpa, rawatan virus Hepatitis C, program menangani masalah pertumbuhan bantut di kalangan kanak-kanak turut disediakan selain menyediakan saringan dan peluasan rawatan haemodialisis serta Enhanced Primary Healthcare (EnPHC).


insurans, B40, Belanjawan 2019

Artikel Lain