suria

Pemilihan PKR: 10 unit tablet e-undi cabang Julau diceroboh perisian 'Prey Anti-Theft'

JULAU: Sepuluh unit tablet e-undi yang digunakan untuk pemilihan Parti Keadilan Rakyat cabang Julau didapati telah dipasang perisian "Prey Anti-Theft".

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR Datuk Rashid Din dalam satu kenyataan di sini berkata, perkara itu dikesan Unit Sistem  and  IT JPP pada 2.00 petang di pusat pemilihan Julau setelah sistem e-undi di Pusat Pemilihan Julau didapati gagal berfungsi seperti biasa.

"Laporan dihantar bagi mendapatkan maklum balas Pasukan Keselamatan Siber JPP di Petaling Jaya. Maklumat yang diterima menyebut bahawa perisian ini digunakan untuk memadam aplikasi e-undi dalam tablet, mencuri data, mengubah kata laluan dan mengawal tablet menggunakan komputer dari jarak jauh," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, unit itu mengambil beberapa langkah segera bagi mengatasi masalah berkenaan dengan menukar mod undian kepada offline, mematikan privilege Device Administrator dan membuat nyahpasang applikasi “Prey Anti-Theft” daripada “Application Manager”.

Disebabkan situasi itu katanya, JPP menggantung keputusan bagi Cabang Julau sehingga pemulihan tablet dan penyatuan data habis diproses.

"JPP juga sedang menyiasat sama ada serangan siber seperti ini juga berlaku di tempat lain yang turut mengadakan pemilihan pada hari ini," katanya dan menambah, siasatan awal mendapati applikasi itu dipasang secara fizikal pada tablet rasmi JPP yang diperuntukkan bagi Cabang Julau sekitar 4 pagi Sabtu. - Bernama

Julau, PKR

Artikel Lain