KUALA LUMPUR: Dakwaan pemotongan 50 peratus peruntukan bagi Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam Belanjawan 2019 adalah tidak benar, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun. Rina berkata, malah agensi di bawah kementerian itu menerima peruntukan RM3.705 bilion bagi Belanjawan 2019. "Saya ada terbaca (dakwaan pengurangan bajet Mara). Terkejut sangat saya bila dikatakan peruntukan Mara turun daripada RM3.5 bilion kepada RM1.3 bilion. "Saya menafikan dan fakta itu adalah salah. Sebenarnya peruntukan untuk Mara pada 2019 adalah RM3.7 bilion. RM1.3 bilion itu adalah perbelanjaan mengurus sahaja. Saya minta Anggota Parlimen Rembau (Khairy Jamaluddin) baca buku Belanjawan 2019," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Syarikat dan Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik KPLB 2017. Rina mengulas kenyataan Khairy yang mendakwa peruntukan Mara dipotong sehingga 50 peratus. Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai desas-desus rombakan kabinet yang mengaitkan namanya sebagai antara individu yang akan digugurkan, Rina berkata, beliau tidak mengetahui perkara tersebut. "Itulah. Kalau dia (kerajaan) nak (gugurkan)...kenapa dia bagi Mara dekat saya pula. Tempat yang orang berebut-rebut nak. "Saya tak dengar pasal tu (pengguguran). Itu adalah luar skop (tugas) saya dan ia di bawah (prerogatif) perdana menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad). Cuma sekarang, saya nak fokuskan apa yang dirancang iaitu Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar," katanya. Ditanya sama ada beliau terkesan dengan khabar angin tersebut, Rina berkata, beliau akan tetap memberikan fokus dengan segala pelan yang telah dirancang di bawah kementeriannya. "Saya akan jalankan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan selagi saya memegang jawatan ini," katanya. - Bernama