suria

Sultan Johor berkenan lantik cucunda sebagai Raja Muda

JOHOR BAHRU: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan melantik cucunda, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim Ibni Tunku Ismail, sebagai Raja Muda Johor.

Tunku Iskandar merupakan anak sulung Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim hasil perkahwinan bersama isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam.

Sultan Johor membuat pengumuman itu sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-60 di Istana Besar, Johor Bahru pada Khamis.

Berangkat sama, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sultan Idris Shah, anakanda serta menantu, Dennis Muhammad Abdullah.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim mengingatkan kepimpinan negeri bahawa agenda utamanya adalah sentiasa untuk membangunkan negeri demi kepentingan rakyat.

Walaupun kepimpinan negeri telah berubah, titah baginda bahawa peranan dan tanggungjawab masih sama.

"Sebagai yang sultan di negeri ini, saya diberi kuasa di bawah perlembagaan negeri untuk melantik menteri besar dan exco dalam kalangan wakil rakyat.

"Sebagai pihak yang melantik, saya juga bertanggungjawab untuk memantau dan memastikan mereka yang dilantik menjalankan tugas dengan baik dan telus dengan cara yang boleh dipercayai," titah baginda.

Sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda, Sultan Ibrahim turut mengurniakan darjah kebesaran dan pingat kepada 62 individu.

Senarai penerima didahului oleh Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani, yang dianugerahkan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ), yang membawa gelaran Datuk. - The Star

Artikel Lain