suria

Usik barista: Starbucks OK, asalkan semua orang selesa!

Video usikan Arieff Effenddy terhadap seorang barista Starbucks tular di Twitter. - Foto Instagram @arepyong

PETALING JAYA: Usikan seorang pramugara yang menggunakan loghat Pantai Timur ketika membuat pesanan daripada seorang barista Starbucks mendapat perhatian syarikat rangkaian kopi popular tersebut.

Ia berikutan terdapat pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang beranggapan perbuatan tersebut tidak wajar.

Namun, sebahagian lagi netizen berpandangan usikan Arieff Effenddy Yong (gambar), 22, itu tidak melampaui batas dan ia sekadar gurauan sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: Pramugara cakap Kelantan pesan minuman dianggap biadab, persenda barista

Penolong pengurus perhubungan awam dan pemasaran digital Starbucks Malaysia dan Brunei, Chloe Pan berkata, pihaknya mengalu-alukan semua orang ke rangkaian kafe tersebut dan mahu membuatkan mereka berasa selesa.

Syarikat itu turut menggalakkan semua barista mengendalikan setiap situasi dengan sewajarnya apabila berurusan dengan para pelanggan mereka.

Arieff Effenddy dikecam oleh netizen selepas memuat naik video membuat pesanan minuman dalam dialek Kelantan. - Foto Instagram @arepyong

"Starbucks komited untuk mewujudkan budaya mesra dan kebersamaan (belonging) antara kakitangan dan pelanggan.

"Pada masa sama, kami juga menggalakkan barista kami untuk mengendalikan semua situasi dengan sewajarnya bagi mengekalkan komitmen ini," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Tambah Chloe, pendekatan itu adalah sebahagian daripada Third Place Policy syarikat tersebut.

Third Place Policy merujuk kepada tempat ketiga antara kerja dan rumah.

Paparan skrin daripada rakaman video 'prank' yang dimuat naik oleh Arieff Effenddy di Twitter.

"Ini adalah sebahagian daripada Third Place Policy kami. Kami berharap dapat memberi pelanggan satu tempat untuk berbual dan rasa kemasyarakatan.

"Tapi kami juga memberi kuasa kepada para barista untuk mengendalikan sebarang situasi dengan sewajarnya," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rakaman video 'prank' yang tular di Twitter sejak Sabtu lalu.

mStar Online pada Selasa melaporkan tentang seorang pramugara syarikat penerbangan tempatan dikritik hebat di media sosial gara-gara memuat naik video memesan minuman menggunakan loghat Kelantan.

Menerusi video berdurasi satu minit 42 saat itu, Arieff Effenddy cuba bertutur dalam dialek tersebut ketika hendak membeli minuman teh hijau latte melalui khidmat pandu lalu Starbucks.

Rakaman yang dimuat naik pada petang Sabtu itu mendapat perhatian netizen sehingga ditonton lebih 431,000 kali dan menerima 22,599 ulang kicau.

Starbucks, Arieff Yong

Artikel Lain