KUALA LUMPUR: Nama Muhammad Adib Mohd Kassim (gambar) pada Sabtu diabadikan pada Tugu Peringatan Fallen Heroes, di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Tengah, Kuala Kubu Bharu. Muhammad Adib yang bertugas sebagai anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada kira-kira 9.41 malam Isnin lepas selepas mendapat kecederaan kritikal disyaki akibat dipukul dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, 27 Nov lalu. Jenazah Muhammad Adib selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, Kedah kira-kira 1.45 tengah hari, Selasa lepas. Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah Kuala Kubu Bharu, Md Ali Ismail berkata nama Muhammad Adib diletakkan di tugu berkenaan dalam satu majlis Apresiasi Wira Merah sebagai memperingati segala jasa dan pengorbanan Allahyarham kepada negara. Beliau berkata Muhammad Adib merupakan simbol pengorbanan dan perjuangan setiap anggota bomba. “Muhammad Adib bagaikan wira kepada kami yang berjuang hingga ke akhir nyawa. Oleh itu, nama Muhammad Adib sentiasa terpahat di hati semua rakyat Malaysia terutama kami yang menyarung uniform yang sama dengan Allahyarham. Tugu peringatan ini juga merupakan tanda ingatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta akademi bomba bahawa jasa mereka yang terkorban sentiasa dikenang selamanya,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu. Md Ali berkata, tugu peringatan itu adalah cetusan idea Ketua Pengarah JBPM Datuk Muhamad Hamdan Wahid dan ia dibina oleh pelatih Kursus Diploma Sains dan Kebombaan (KDSK) Siri 1 yang dirasmikan Muhammad Hamdan ketika menyempurnakan majlis penutup kursus berkenaan pada September lepas. "Terdapat 23 anggota bomba terkorban ketika bertugas di seluruh negara yang direkodkan sejak 1993 dan nama mereka diabadikan di tugu peringatan ini. Allahyarham Muhammad Adib adalah yang ke-24 selepas enam anggota terkorban dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di sebuah lombong di Puchong pada 3 Okt lalu,” katanya. Md Ali berkata tugu peringatan ini juga dibuka untuk kunjungan orang ramai sebagai tanda ingatan dan menghargai pengorbanan anggota bomba terbabit. - Bernama