suria

Kabinet belum putuskan penetapan harga minyak

PDAM menghantar petisyen kepada Dr Mahathir berhubung isu penetapan sistem apungan harga minyak secara mingguan.

PUTRAJAYA: Kabinet masih belum membuat keputusan mengenai harga minyak.

Sistem apungan mingguan harga minyak yang sepatutnya bermula pada 1 Januari ditangguhkan kerana kerajaan mengkajinya semula.

Pada Rabu, Kabinet sepatutnya membincangkan tentang perkara itu dan membuat keputusan mengenainya pada mesyuarat pertama tahun ini.

Namun, tiada kenyataan dikeluarkan mengenai perkara itu ketika sesi sidang akhbar dijalankan.

Pegawai dari Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan berkata, mereka tidak mendapat arahan untuk mengeluarkan kenyataan.

Oleh itu, pemandu akan terus membayar harga bahan api mengikut harga semasa.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata sebelum ini, sistem apungan mingguan akan digunakan untuk menentukan harga minyak RON95 dari 1 Jan kerana harga minyak mentah telah jatuh.

Ia akan membolehkan pengguna menikmati harga yang lebih rendah pada kadar lebih cepat.

Tetapi pada Isnin, kerajaan mengumumkan bahawa harga bahan api runcit akan kekal tidak berubah bagi minggu pertama 2019.

Harga RON97, RON95 dan diesel kekal pada harga RM2.50, RM2.20 dan RM2.18 seliter sehingga kerajaan menetapkan harga runcit baharu.

Pada Selasa, para peniaga petroleum bertemu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meluahkan kebimbangan mereka mengenai sistem apungan mingguan.

Harga bahan api masih kekal untuk minggu pertama 2019. - Bernama

Mereka juga mengemukakan cadangan untuk dipertimbangkan bagi memastikan mereka tidak akan mengalami kerugian sekiranya kerajaan meneruskan rancangan tersebut.

Presiden Persatuan Peniaga Petroleum Malaysia (PDAM) Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, mesyuarat itu diadakan sebelum perdana menteri mempengerusikan mesyuarat Kabinet.

"Kami diberitahu bahawa Kabinet akan membincangkan dan memutuskan isu petrol," katanya kepada pemberita selepas delegasi PDAM mengadakan pertemuan selama 45 minit dengan perdana menteri.

Khairul Annuar berkata, persatuan itu menjelaskan kepada Dr Mahathir mengenai masalah yang akan dihadapi sekiranya sistem apungan mingguan dilaksanakan.

"Perdana Menteri seolah-olah memahami keadaan kami. Kami berharap hasil yang baik dapat diputuskan," katanya. - The Star

harga minyak, PDAM

Artikel Lain