PUTRAJAYA: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berusia 32 tahun dari sebuah syarikat Sdn Bhd ditahan untuk membantu siasatan membabitkan projek Tourism Malaysia bernilai RM99.693 juta. Difahamkan, beliau ditahan bersama bekas pegawai kanan Tourism Malaysia selepas mereka disoal siasat di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada Selasa. ARTIKEL BERKAITAN: Bekas pegawai tinggi Tourism Malaysia ditahan SPRM Sumber berkata, syarikat itu hanya berusia lima bulan ketika diberikan kontrak yang didakwa ditandatangani dalam masa satu hari atau dikenali sebagai perjanjian 'speedy gonzales'. Ia dilakukan kira-kira sebulan sebelum pilihan raya umum tahun lepas. Kontrak itu adalah untuk syarikat terbabit bertindak sebagai pengantara bagi Tourism Malaysia dan syarikat berpangkalan di China untuk mempromosikan negara ini menerusi media sosial. Syarikat berkenaan beroperasi di rumah teres dua setengah tingkat di Petaling Jaya. Kontroversi itu pertama kali didedahkan pada Mei lalu oleh bekas pengerusi Tourism Malaysia, Wee Choo Keong menerusi blognya. Beliau mendakwa perjanjian itu dibuat terhadap peraturan perolehan Kementerian Pelancongan dan dilakukan secara tergesa-gesa tanpa prosedur sewajarnya. SPRM merampas dokumen yang berkaitan dengan perjanjian itu dan menjalankan siasatan di pejabat Tourism Malaysia di Putrajaya pada Jun. - The Star