suria

HRDF didakwa seleweng dana, beli bangunan di Bangsar South melebihi harga pasaran

PETALING JAYA: Nampaknya skandal Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) tidak akan selesai dalam masa terdekat.

Tambah membimbangkan, maklumat yang tersebar baru-baru ini menunjukkan terdapat kemungkinan salah laku pemerolehan hartanah bernilai jutaan ringgit.

Pengurusan HRDF telah membuat laporan polis mendakwa terdapat salah laku atau penyalahgunaan kuasa dalam pembelian sebahagian bangunan di Bangsar South, Kuala Lumpur, empat tahun lalu, kerana ia dilakukan tanpa pengetahuan lembaga pengarah dan panel pelaburan .

Memetik laporan The Star, HRDF membeli enam tingkat bangunan 'pencakar langit' pada harga RM154 juta, termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Terdapat dakwaan bahawa kira-kira RM40 juta dibayar sebelum pengeluaran invois cukai dilakukan.

Menurut sumber, isu yang lebih besar adalah lembaga pengarah HRDF sebenarnya ada meluluskan pembelian hartanah (bangunan lain) yang juga terletak di Bangsar South pada harga RM141 juta sebelum GST.

Difahamkan, panel pelaburan hanya dimaklumkan mengenai pertukaran tersebut lima bulan selepas bayaran pertama sebanyak RM15.4 juta dibuat.

Agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia itu menguruskan dana yang terdiri daripada sumbangan majikan untuk tujuan latihan dan pembangunan.

Pada November tahun lalu, Menteri M. Kulasegaran berkata bahawa pekerja dan kakitangan pengurusan mengendalikan HRDF seperti ia syarikat mereka sendiri.

Pihak pengurusan telah beberapa kali melebihi kuasa dan meluluskan projek yang melebihi had kelulusannya.

Dakwaan terbaru terhadap pembelian hartanah di Bangsar South itu mencerminkan masalah tadbir urus yang sama.

HRDF

Artikel Lain