SEORANG pekerja warga Bangladesh maut akibat terperangkap di bawah runtuhan lantai bangunan yang sedang dalam proses pembinaan di Taman Teknologi Subang Hitech, dekat sini, petang Selasa. Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Mohamad Azlin Sadari berkata dalam kejadian kira-kira 4.44 petang itu, mangsa berusia 43 tahun tiba-tiba terjatuh selepas selesai melakukan kerja pembinaan di kawasan berkenaan. "Mangsa terperangkap di bawah timbunan besi perancah dan bancuhan simen," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian. Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Nurizham Mohd Nudin berkata tujuh pegawai serta anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan mengenai kejadian. "Mangsa yang dikenali sebagai Kassim terjatuh dari ketinggian 14 meter itu ditemui, pada 5.42 petang dan berjaya dikeluarkan pada 9.40 malam," katanya sambil menambah bahawa struktur bangunan yang masih belum kukuh dipercayai sebagai punca kejadian. Norizham berkata pihaknya turut menggerakkan Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat (STORM) ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mayat mangsa yang terperangkap akibat dihempap besi perancah. Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat. - Bernama