suria

Koperal tentera mengaku tidak bersalah cabul anak perempuan usia 4 tahun

Gambar hiasan

SEORANG anggota tentera berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas pertuduhan mencabul anak perempuannya di sebuah rumah di Bandar Baru Putra, Ipoh, tahun lepas.

Lelaki berumur 30 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Julie Lack Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya yang semasa kejadian berumur 4 tahun 5 bulan, di sebuah rumah di Bandar Baru Putra, Ipoh pada Disember 2018.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa mengaku tak salah cabul anak kandung

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, boleh dikenakan sebatan dan perlu diletakkan di bawah pengawasan polis bagi tempoh minimum setahun dan maksimum tiga tahun.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Naidatul Athirah Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Naidatul Athirah memohon agar mahkamah tidak mengenakan ikat jamin kerana takut mengganggu saksi-saksi pendakwaan kerana tertuduh merupakan bapa kandung yang tinggal serumah dengan mangsa dan ibu mangsa.

Koperal yang tidak diwakili peguam itu pula memohon kepada mahkamah agar dikenakan jaminan yang rendah selain menyatakan dia masih berkhidmat sebagai anggota tentera.

Julie Lack kemudiannya meminta agar tertuduh mendapatkan nasihat peguam kerana ini merupakan satu kesalahan serius.

“Jika bersalah kamu akan dipenjarakan sehingga 20 tahun. Jaminan juga tidak  diberikan kerana mangsa merupakan anak kandung kamu sendiri.

“Melainkan kamu mempunyai alasan yang kukuh pada masa sebutan semula iaitu 25 Feb depan, saya akan mempertimbangkan semula jaminan perlu diberikan atau tidak,” katanya. - Bernama

cabul anak

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan