PEMANDU kereta Toyota Vios yang terlibat dalam kemalangan maut sehingga menyebabkan sebuah SUV terhumban ke laut dari Jambatan Pulau Pinang Ahad lepas ditahan polis awal pagi Rabu. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata lelaki berusia 21 tahun itu hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT kira-kira pukul 2 pagi tadi bagi menyerah diri sebelum pemandu berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut. "Lelaki yang bekerja sebagai pendandan rambut itu ditahan dan polis telah merekodkan keterangan pemandu berkenaan bagi membantu siasatan kes," katanya pada Rabu. Beliau berkata selain pemandu kereta itu, polis turut merekodkan 15 keterangan daripada pelbagai individu antaranya anggota keluarga mangsa, saksi kejadian dan rakan-rakannya. Katanya pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan kes itu dalam masa terdekat sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. "Laporan bedah siasat ke atas pemandu kereta yang terhumban dalam laut itu mendapati lelaki tersebut mati disebabkan lemas," katanya dan menambah proses bedah siasat di Hospital Seberang Jaya selesai selama tiga jam. Katanya kes kemalangan itu diklasifikasikan semula menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian. SUV jenis Mazda CX-5 yang dipandu Moey Yun Peng, 20, seorang penuntut kolej swasta, dilaporkan hilang kawalan selepas berlanggar dengan sebuah kereta lain jenis Toyota Vios sebelum terhumban ke laut dari Kilometer 4, Jambatan Pulau Pinang pada 2.54 pagi, Ahad lepas. Usaha untuk mengeluarkan kenderaan dan mayat Moey dari dasar laut, mengambil masa lebih 24 jam sebelum berjaya dikeluarkan petang semalam. Mayat mangsa yang masih berada di tempat duduk pemandu kenderaan dengan tali pinggang keledarnya masih terpasang, ditemukan dalam SUV yang remuk itu semasa ditarik keluar dari laut pada 6.07 petang.- Bernama