suria

"Sekarang kita nak budaya orang cari tong sampah, bukan tong sampah cari orang"

KIRA-kira 60 peratus daripada 32 juta populasi rakyat Malaysia masih gagal membuang sampah ke dalam tong sampah meskipun kemudahan itu telah pun disediakan secukupnya, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata pengurusan sampah dilihat masih belum menjadi tabiat masyarakat negara ini dan sikap itu perlu dikikis dalam usaha menjadikan Malaysia bersih.

"Saya ingat tabiat (membuang sampah ke dalam tong sampah) belum jadi darah daging mereka (rakyat) lagi, mereka tidak tahu mengurus sampah termasuk sampah peribadi di rumah.

"Di negara-negara maju, sampah contohnya mereka simpan dalam beg tangan atau poket dulu sebelum buang dalam tong sampah. Sekarang kita nak budaya orang cari tong sampah, bukan tong sampah cari orang," katanya pada sidang media selepas merasmikan 3R On Wheels dan Kad Mesra di Stesen Petronas Jalan Ayer Ampang pada Sabtu.

Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd Datuk Mohd Zain Hassan.

Zuraida berkata publisiti dan kempen kesedaran secara lebih meluas akan dilaksanakan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan persatuan penduduk supaya pengurusan sampah secara betul dapat dibudayakan.

Sementara itu, Mohd Zain berkata program 3R on Wheels dengan kerjasama Petronas Dagangan Berhad itu dilaksanakan melalui kutipan mata ganjaran pemegang Kad Mesra Petronas dengan hasil jualan barang kitar semula di lori 3R On Wheels.

Katanya jadual kutipan bagi lori bergerak 3R On Wheels akan dihebahkan melalui platform media sosial Alam Flora termasuk di Facebook, Twitter dan Instagram bagi membolehkan mereka merancang menghantar barangan kitar semula mengikut jadual.

Sejak program lori bergerak 3R On Wheels dilaksanakan awal Disember tahun lepas, Alam Flora berjaya mengutip 21.2 tan barang kitar semula di sekitar Lembah Klang, Putrajaya dan Cyberjaya.- Bernama

Buang sampah, merata

Artikel Lain