DUA mayat yang dikerat beberapa anggota badan ditemukan di tepi sebatang sungai berhampiran taman perumahan Desa Coalfields di Sungai Buloh, petang Sabtu. Tanpa menyatakan waktu penemuan mayat itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supritendan Shafa'aton Abu Bakar berkata kedua-dua mayat tersebut ditemukan oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan. “Mangsa disyaki masing-masing seorang wanita dan lelaki. Tiada sebarang pengenalan diri pada mangsa. Mayat ada kesan torehan di beberapa bahagian badan. “Maklumat awal mengatakan orang awam menemui tiga mayat tetapi apabila anggota kita tiba, hanya dua mayat yang ada,” katanya ketika dihubungi Bernama. Beliau berkata berdasarkan keadaan mayat yang sudah reput, kedua-dua mangsa dipercayai mati kira-kira dua minggu lepas dan dibunuh di tempat lain sebelum mayat dibuang berhampiran sungai tersebut. Shafa'aton berkata 10 anggota bomba dikerahkan ke lokasi penemuan itu bagi membawa mayat keluar dari tempat tersebut dengan dibantu pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. Mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya.