suria

Istiadat pengurniaan pingat Wilayah Persekutuan ditangguh

Khalid Abdul Samad.

ISTIADAT Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan (DKBPWP) sempena Hari Wilayah Persekutuan yang dijadualkan 1 Februari ini ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata istiadat berkenaan setiap tahun disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Istiadat tersebut dizahirkan bagi mengiktiraf jasa dan bakti yang diberikan oleh individu kepada Wilayah Persekutuan secara khusus dan negara amnya.

Pada masa ini jawatan Yang di-Pertuan Agong dipangku Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong selepas Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 pada 6 Januari lepas.

Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khas pada 24 Januari lalu telah memilih Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 dan bakal dimasyurkan pada 31 Januari ini. - BERNAMA

Artikel Lain