suria

Warga emas maut ditetak dalam kejadian pecah rumah

Mangsa maut ditempat kejadian. - Foto Facebook

SEORANG warga emas berusia 84 tahun ditemukan maut di rumahnya dipercayai akibat ditetak dalam satu kejadian pecah rumah di Kampung Chat Rimau dekat Tanah Merah, Kelantan pada Sabtu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa, Hamid Mat Salleh, meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di pergelangan tangan kiri dan belakang kepala akibat ditetak dengan objek tajam.

"Mangsa tinggal di rumah tersebut seorang diri dan berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual barangan runcit dan tembakau.

"Siasatan awal mendapati mangsa mengalami pendarahan yang banyak sebelum disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pegawai perubatan," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini, Sabtu.

Hasanuddin berkata siasatan awal juga mendapati suspek dipercayai memecah masuk ke rumah mangsa berdasarkan penemuan kuku besi yang digunakan untuk memecahkan pintu rumah mangsa.

"Mungkin ada pergelutan antara mangsa dan suspek sebelum suspek bertindak memukul mangsa dengan kuku besi itu.

"Kita tidak menemui senjata tajam yang lain dan kejadian itu dilaporkan oleh jiran mangsa," katanya.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya polis masih mengesan suspek dalam kejadian itu dan memohon kerjasama orang ramai bagi menyalurkan maklumat berhubung kejadian itu. - BERNAMA

tetak, pecah rumah

Artikel Lain