suria

Pengundi Cameron Highlands pilih ahli Parlimen baharu hari ini

SELEPAS 14 hari berkempen, maka hari ini seramai 31,639 pengundi di Cameron Highlands membuat pilihan siapakah yang akan mewakili suara mereka di Parlimen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu.

Empat calon yang bertanding adalah daripada Pakatan Harapan iaitu Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M.Manogaran; bekas pegawai kanan polis Ramli Mohd Nor mewakili Barisan Nasional (BN); serta dua calon Bebas iaitu bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee yang merupakan petani tempatan.

Semua 29 pusat mengundi dengan masing-masing 17 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata, serta 12 lagi di DUN Jelai dibuka tepat pukul 8 pagi Sabtu bagi membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) , 29 pusat mengundi itu yang semuanya melibatkan bangunan sekolah akan ditutup secara berperingkat dengan sebuah ditutup pada 1 tengah hari; lima (2 petang); sembilan (3 petang); satu (3.30 petang); tujuh (4 petang) dan enam pada 5.30 petang.

Bagi pengundian hari ini, SPR membuka sebanyak 86 saluran bagi melancarkan pengundian.

SPR menasihati pengundi supaya jangan lupa membawa kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri yang rasmi dan sah ke pusat mengundi serta tidak menyerahkan dokumen itu kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya.

Pengundi juga dinasihatkan keluar awal untuk mengundi bagi mengelakkan faktor cuaca selain mengambil kira waktu pusat pengundian ditutup di tempat masing-masing.

Sementara itu, proses pengundian awal PRK Cameron Highlands bagi 247 anggota polis telah diadakan pada 22 Januari lalu di Balai Polis Brinchang di sini dan Balai Polis Sungai Koyan di Lipis.

Proses penjumlahan undi akan diadakan di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Sultan Ahmad Shah di sini dan buat julang kalinya SPR akan menyiarkan secara langsung menerusi Facebook suruhanjaya itu proses pengiraan dan penjumlahan undi serta pengumuman keputusan.

SPR menyasarkan 70 peratus pengundi keluar mengundi hari ini dan menjangkakan keputusan akan diketahui selewat-lewatnya 10 malam.

PRK itu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 Mei tahun lepas, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

PRK ini adalah yang kelima setelah PRU14 dengan tiga pilihan raya sebelum ini melibatkan DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor serta PRK Parlimen Port Dickson. - BERNAMA

PRK, Cameron Highlands

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain