suria

OKU bertolak 5 pagi dari Kuala Lumpur untuk mengundi

DATANG AWAL... Pengundi di sekitar Sungai Koyan bagi kawasan P.078 Cameron Highlands berpusu ke Sekolah Kebangsaan Tanjung Gahai seawal 7.15 pagi sementara menunggu pusat pengundian tersebut dibuka pada pukul 8 pagi Sabtu. - fotoBERNAMA

MARINA Yusuf, 44, bangun seawal 4 pagi dan bertolak ke sini dari Kuala Lumpur kira-kira 5 pagi demi menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Sabtu.

Keadaannya yang berkerusi roda kerana cacat kekal di kaki tidak menghalangnya daripada melaksanakan tanggungjawab apabila menjadi orang pertama tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Gahai, Kuala Lipis pada 7.15 pagi.

Marina yang tinggal di Setiawangsa di ibu negara setelah ibu bapanya meninggal dunia, ditemani kakaknya Shayusliza Yusuf, 45, yang turut mengundi di situ.

Mereka berdua pulang ke kampung dipandu oleh suami Shayusliza, Rusli Ismail.

“Saya telah mengundi tiga kali sejak Pilihan Raya Umum ke-13 di pusat pengundian yang sama. Kami pulang ke kampung sebab mahu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bagi menentukan masa depan yang lebih baik untuk kami semua,” katanya.

Marina dibantu oleh seorang daripada pegawai petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga ke kereta selepas selesai mengundi dan kemudian pulang ke Kuala Lumpur.

Seorang lagi pengundi berkerusi roda, Siti Aminah Mat Akhir, 82, dari Kampung Tanjung Gahai berkata, keadaan fizikalnya bukanlah penghalang untuk beliau menunaikan kewajipannya.

“Perasaan sama sahaja mengundi sekali lagi (selepas Pilihan Raya Umum ke-14). Mak cik turun mengundi kerana inilah menjadi penentu nasib sebuah negara,” kata warga emas itu.

Siti Aminah datang seorang ke pusat mengundi itu setelah dijemput dari rumahnya dan dibantu pegawai SPR. - BERNAMA

PRK, Cameron Highlands

Artikel Lain