suria

“Parang diacu, kepala tetap teringat kucing menjerit ketakutan disumbat dalam beg” - Mangsa rompakan kedai haiwan

Perompak kedai haiwan mengambil dua ekor kucing dan juga wang tunai ketika insiden petang Rabu.

“MASIH terngiang-ngiang di kepala teringat jeritan kucing kesakitan yang disumbat dalam beg,” kata mangsa rompakan di sebuah kedai haiwan di Taman Melawati di ibu negara.

Salah seorang mangsa yang juga pekerja Neko Catrus, Nadrah Aqilah Ahmad Nazim, 21, memberitahu, sebelum kejadian itu, dia dan tiga lagi staf sedang berborak mengenai pelanggan mereka.

Kejadian berlaku pada Rabu, lebih kurang pukul 7.05 malam.

“Rakan sekerja saya, Zira seperti sudah rasa ada sesuatu yang tak kena apabila melihat beberapa remaja lelaki datang (pakai topi keledar) cuba masuk.

“Staf lelaki (Len) cuba halang pintu dan menyuruh kami lari selamatkan diri. Namun pintu ditolak agak kuat hingga dia terpaksa melarikan diri ke belakang.

“Dua lagi perompak terjah masuk dah siap bawa beg kucing.  Lelaki pertama terus ke kaunter tempat saya berdiri. Dia acukan parang ke arah saya menyuruh buka kotak duit.

“Saya memang ‘blur’ ketika itu. Langsung tak terfikir nak larikan diri.

“Saya terus beri kepadanya (bekas duit)dan lari ke belakang. Masa tu saya sempat tutup muka sebab tak bagi dia cam muka saya.

“Saya yakin mereka orang tempatan kerana dengar suaranya menyuruh ‘buka’ langsung tidak pelat,” ujarnya kepada mStar Online.

Mangsa melarikan diri selepas menyerahkan kotak duit kepada salah seorang perompak.


Menurut Nadrah, keadaan kedai agak sunyi pada hari kejadian dan tidak ada sesiapa yang berdekatan untuk meminta tolong.

“Kami buka pintu gril di belakang menjerit minta tolong. Kedai di sebelah premis saya kiri kanan memang kosong. Jadi kawasan itu agak sunyi sedikit.

“Saya cuba hubungi 999 tetapi terlupa alamat penuh kedai. Lepas kejadian barulah saya hubungi balik dan bagi alamat penuh.

“Mereka ambil dua ekor kucing 'British short hair’ yang harganya RM2,800 dan seekor Persian, RM400.

“Selepas kejadian, kami terus buat laporan polis,” jelasnya yang memberitahu nilai wang tunai yang dirompak berjumlah RM2,300.

Nadrah yang sudah tiga tahun lebih bekerja di kedai ini memberitahu insiden rompakan ini pertama kali berlaku.

“Sebelum ini Mei tahun lalu ada kejadian curi kucing, tetapi milik pekerja di sini dan kucing tempatan sahaja.

“Selepas itu, Disember lalu, saya yakin orang yang sama juga datang menyamar jadi pelanggan dan terus ke belakang nak ambil kucing. Tapi masa tu kami sempat melarangnya.

“Saya syak memang mereka sasar nak curi kucing. Mereka dah siap bawa beg kucing.

“Saya memang sedih fikirkan kucing itu kerana saya jaga, bagi makan kedua-duanya. Yang seekor tu (british short hair) memang penakut.

“Saya masih teringat kucing tu menjerit ketakutan ketika mereka sumbat dalam beg. Saya sangat marah, geram.

“Saya harap kucing-kucing itu selamat. Tak tahu nak fikir apa sebab mereka memang dijaga rapi di sini,” katanya.

Tambah Nadrah, ketika kejadian kecurian yang pertama tahun lalu dia tidak membuat laporan polis kerana menganggap kes seperti ini tidak akan dilayan pihak berkuasa.

“Tetapi saya silap kerana polis akan terima semua kes, termasuk kehilangan kucing.

“Dan saya yakin kali ini mereka (perompak) tidak akan selamat lagi. Saya harap mereka ditangkap dan kucing itu dikembalikan,” ujarnya.

Nadrah memberitahu, selepas kejadian semua staf agak muram dan masih trauma dengan kejadian itu.

Dua ekor kucing yang dibawa lari perompak. 

“Hari ini (Khamis) semua diam dan kami tak berapa gembira kerana fikirkan keselamatan kucing itu.

“Saya sendiri masih trauma bila teringat parang diacu ke arah saya, tetapi lebih teruk lagi jeritan kucing tu masih terngiang-ngiang.

“Sebelum ini bos (pemilik kedai) selalu berpesan kalau jadi kes seperti ini selamatkan diri terlebih dahulu. Nyawa lebih penting.

“Saya bernasib baik kerana tidak diapa-apakan. Cuma masih terfikir kenapa sanggup rompak kucing?,” ujarnya.

Ironinya menurut Nadrah, balai polis hanya beberapa meter dari tempat kejadian.

"Mereka memang berani walaupun balai polis berdekatan dengan kedai.

"Sejak kejadian, pihak polis kerap membuat rondaan di kawasan ini.

"Jadi kami rasa sedikit selamat," katanya.

rompak kucing, acu parang

Artikel Lain