suria

MAS, AirAsia, Malindo Air tawar tambang murah sempena Tahun Baharu Cina

TIGA syarikat penerbangan tempatan menambah sebanyak 376 penerbangan lewat malam pada tambang rendah bagi tempoh antara 30 Januari dan 12 Februari bersempena perayaan Tahun Baharu Cina, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Menurutnya, syarikat penerbangan terbabit – Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo Air turut berikrar menambah kapasiti 64,382 tempat duduk membabitkan 14 laluan khusus bagi memenuhi permintaan destinasi popular seperti Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu, Sibu dan Miri.

“Tahun lepas, kerajaan telah meminta Suruhanhaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM melakukan kajian terhadap tambang penerbangan yang mahal (dikenakan oleh syarikat penerbangan) ketika tempoh puncak perjalanan di negara ini dan mencari pilihan bagi tawaran harga berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelepasan penerbangan tambahan AirAsia sempena Tahun Baharu Cina di Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di Sepang, Khamis.

Mengulas selanjutnya, Loke berkata kesemua tambang bagi penerbangan tambahan lewat malam itu berkurangan sebanyak 25 peratus berbanding tahun lepas.

"Bagi laluan AirAsia Kuala Lumpur-Sibu misalnya, tambang tahun lepas kira-kira RM1,000 tetapi tahun ini, kerajaan telah bersetuju dengan tambang rendah RM149 untuk semua tempat duduk.

“Ini merupakan inisiatif kami bagi meringkan kos sara hidup," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain